Syasya berkongsi gambar perkahwinannya
Syasya berkongsi gambar perkahwinannya
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Takdir telah tertulis bahawa saya perlu membuat keputusan di saat paling sukar demi kelangsungan hidup," kata bekas anggota Dolla, Syasya Rizal ketika membuat pendedahan mengenai keputusannya untuk keluar dari kumpulan itu.

Syasya atau nama sebenarnya, Norsyasya Afiqah Shahrizal, 23, berkata, dia mengakui sebahagian peminatnya terluka dengan keputusannya itu.

"Saya tahu keputusan yang dibuat ini sedikit sebanyak buat ramai keliru, marah dan mungkin terguris.

"Sejujurnya, luka itu itu lebih besar untuk diri saya sendiri kerana perlu menerima dan melalui ketentuan ini," tulisnya di Instagram (IG).

Walau bagaimanapun, kata Syasya, dirinya tetap orang yang sama seperti kali pertama bertemu peminat Dolla pada 2019.

Katanya, dia juga sentiasa menyokong Dolla memandangkan tiga lagi ahli kumpulan berkenaan sudah dianggap seperti kakaknya sendiri.

"Untuk Dolla pula, saya sentiasa sokong mereka sejak permulaan kerjaya lagi.

"Dolla segalanya untuk saya dan 'it is something precious that i really treasure' (sesuatu sangat berharga).

"Impian untuk Dolla melangkah ke pentas antarabangsa masih saya sematkan dalam jiwa walaupun sudah tidak bersama Dolla lagi," tulisnya.

Untuk rekod, Dolla memulakan kerjaya seni mereka pada 2019 apabila muncul dengan album pertama berjudul Dolla Make You Wanna.

Penubuhan kumpulan nyanyian wanita itu dibuat secara uji bakat dan keempat-empat mereka yang dianggotai oleh Angel, Sabronzo, Tabby dan Syasya tidak mengenali antara satu sama lain.

Namun begitu, April lalu, Syasya mengumumkan menarik diri dari kumpulan terbabit atas sebab peribadi. Tak lama selepas keputusan itu dibuat, dia berkongsi berita majlis pernikahannya pada 20 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 1:22 PM