Tyzo (kiri) bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Tyzo (kiri) bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Emosi penyampai radio, Tyzo, 47, masih belum stabil dan berusaha mengumpul kekuatan diri selepas penamatan kontrak secara mengejut oleh stesen radio Suria FM.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris ketika dihubungi berkata, berita itu menyebabkan telefonnya tidak putus-putus menerima mesej tetapi dia belum kuat untuk membacanya.

"Telefon saya sampai 'hang'. Terlalu banyak sangat notifikasi yang masuk. Saya baca sikit-sikit saja sebab saya sedang bersedih dan masih belum boleh terima kenyataan.

"Saya takut ada orang kecam-kecam. Takut saya 'down'. Tapi bila dapat panggilan kawan-kawan terlalu banyak sokongan diberi, stesen radio beri tawaran, berjumpa Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) dan Datuk Suhaimi Sulaiman (Ketua Pengarah Penyiaran) sangat-sangat positifkan saya," katanya.

Paling dirindui Tyzo dan menjadi kehilangan besarnya adalah gandingan bersama Sharifah Shahirah atau Kak Rara dalam segmen Suria Petang.

"Sampai sekarang masih sayangkan Suria FM, Suria Petang, sebab gandingan dengan Kak Rara itu membuatkan apa yang saya ada sekarang. Jadi, saya takkan dapat lupa jasa dan bakat kerja dia.

"Kerjasama kami berdua itulah yang mencetus banyak sokongan. Hal itulah yang paling menyedihkan nak lepaskan. Kerjasama saya dengan Rara sentiasa menjadi nombor satu," katanya.

Menjadi perbualan hangat mengenai stesen mana bakal disertainya pula selepas ini, Tyzo mengalu-alukan tawaran dari mana-mana kerana dia masih cintakan kerjaya penyampai radio.

"Doakan saya untuk mendapat peluang yang lebih baik. Saya pun tak tahu nak cakap macamana. Kalau dapat Hot FM, Era FM, Sinar FM, Ikim atau radio RTM, saya sedia untuk berbincang lanjut.

"Mengenai apa yang saya boleh sumbangkan untuk bakat dan kerja saya. Saya nak dan masih mampu bekerja. Ini untuk masa depan saya serta untuk anak saya. 

"Saya tidak mahu menafikan atau mengiyakan mengenai ada beberapa peluang diberikan. Tetapi saya ambil langkah lebih berdiam diri sebab emosi saya masih belum stabil," katanya.

Tidak ketinggalan, Tyzo menzahirkan rasa syukur kisahnya mendapat sorotan Fahmi selepas terserempak dengannya semalam.

"Beliau cakap baru saja bercakap pasal saya, kebetulan terjumpa, memang rezekilah. Beliau beritahu akan berbincang, mungkin beliau bercakap juga dengan Datuk Suhaimi. Ada perkembangan yang positif.

"Beliau juga meminta pegawainya aturkan berbincang sesuatu untuk kelangsungan sayalah. Sejujuranya saya sangat terharu sebab beliau sangat prihatin dan tahu apa yang berlaku terhadap dunia hiburan.

"Saya tak sangka beliau tahu dan hal itu sangat membuatkan orang seperti saya terharu. Saya ini kerdil saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 3:44 PM