DJ Lin.
DJ Lin.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : "Tunggu hingga Jumaat ini (19 Januari). Insya-Allah, semuanya akan dijelaskan dalam satu sidang media diadakan nanti," kata Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin berkaitan isu hangat berhubung penamatan kontrak bekas penyampai stesen itu, Tyzo berkuat kuasa semalam.

Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abd Majid, 49, ketika dihubungi berkata, dia memohon maaf tidak dapat memberi sebarang kenyataan mengenai isu tular itu kerana sudah menerima arahan daripada pihak pengurusan tertinggi Suria FM.

"Saya minta maaf tidak dapat memberi apa-apa kenyataan berhubung isu itu (penamatan kontrak Tyzo) kerana tidak dibenarkan. Ia arahan daripada pihak pengurusan tertinggi Suria FM dan saya kena menghormatinya.

"Tiada sebarang kenyataan boleh dikeluarkan pada masa sekarang dan semuanya akan dijawab pada Jumaat depan, 19 Januari nanti berhubung isu yang berlaku," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Lin, dia sentiasa berusaha sebaik mungkin memberi kerjasama penuh kepada pihak media berikutan selama 25 tahun dirinya berkhidmat dalam penyiaran radio, sedar kerjasama dua hala amat diperlukan.

"Saya betul-betul minta maaf sebab tak pernah hampakan wartawan sebelum ini apabila mahu mendapatkan komen atau apa saja kenyataan daripada saya. Tapi, untuk kali ini minta maaf dan tunggu pada Jumaat nanti," katanya.

Baru-baru ini, Suria FM dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan stesen itu pada Jumaat lalu memberitahu khidmat Tyzo sebagai penyampai radio segmen Suria Petang berakhir atas alasan penstrukturan strategi untuk tahun 2024.

Justeru, Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain menerusi hantaran di media sosial meluahkan rasa kecewa dan penuh kesal kerana dia masih mahu berkhidmat lagi di stesen radio itu, namun kontrak kerja yang sepatutnya tamat Mac ini ditamatkan semalam.

Pemenang kategori Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular BH Ke-35 (ABPBH35) tahun lalu itu menyifatkan apa dihadapi adalah impak daripada kemenangannya itu.

Sejak semalam, platform media sosial menjadi 'medan' hangat dengan pelbagai komen netizen yang sedih dan marah berhubung situasi penamatan kontrak kerja Tyzo bersama Suria FM, sekali gus mencetuskan kontroversi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 4:40 PM