Tyzo Xander.
Tyzo Xander.
Ramlah Zainal

 

Kuala Lumpur: "Saya sedih dan tak sangka kerana terpaksa meninggalkan Suria FM walaupun tanpa kerelaan hati," kata bekas penyampai Suria Petang, Tyzo Xander.

 Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris berkata, dia juga masih belum puas untuk menghiburkan pendengar di segmen Suria Petang sejak berkhidmat di stesen radio Suria FM.

 "Saya mohon jutaan maaf kepada semua pendengar Suria Petang kerana ini bukan keputusan saya sebaliknya pihak pengurusan dengan alasan untuk pembaharuan 2024.

 "Buat gandingan terbaik saya, Kak Rara, saya akan rindu untuk bekerja dengan akak," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

 Mengulas mengenai khidmatnya di Suria FM, kata Tyzo yang sudah tujuh tahun bersama Suria Petang, kontraknya ditamatkan lebih awal tanpa perbincangan serta sepatutnya berakhir pada Mac nanti.

 "Saya tidak reda dengan keputusan ini tetapi apa daya saya tidak ada kuasa dan pilihan.

 "Terus terang, saya juga masih mahu lagi bekerja kerana memiliki seorang anak yang berusia sembilan tahun, Noah Zachri untuk disara ," katanya.

 Pada masa sama, pemenang kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-35 berkata, itulah harga yang perlu dibayarnya selepas memenangi trofi berkenaan.

"Inilah harga yang saya perlu bayar selepas lima bulan menang trofi?. Hanya yang pernah lalui sahaja tahu 'sakitnya'.

 "Saya harap selepas ini tiada pihak yang 'spin cerita' dan olah ayat 'tuduh diva' demi untuk menutup aib," katanya.

Sementara itu, ditanya perancangan selepas ini, kata Tyzo, dia terbuka untuk menerima tawaran dari mana-mana pihak stesen radio atau TV  selepas ini.

"Saya harap ada pihak lain yang akan hargai kerja saya sebagai penyampai radio di luar sana," katanya.

Terdahulu, Suria FM mengumumkan khidmat penyampai Suria Petang, Tyzo Xander, secara rasminya berakhir semalam.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin menyifatkan khidmat Tyzo sangat besar sumbangannya dan akan sentiasa menyokong kariernya ke depan.

Menurut DJ Lin, keputusan berkenaan adalah antara langkah Suria FM dalam merangka strategi dan perancangan baharu. 

Ia bagi menghasilkan produk lebih menarik dan segar bagi tahun ini dan seterusnya.

Berita berkaitan:

Anna Aljuffrey simpati dengan nasib Tyzo

'Politik' stesen radio lebih 'kejam'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 12:06 PM