Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Ketika pihak pengurusan mahu menyambung kontrak Tyzo pada Oktober lalu, Tyzo maklumkan dia mahu kontraknya disambung selama enam bulan saja kerana mempunyai rancangan lain."

Demikian kata Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG), Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse yang meminta perkhidmatan bekas penyampai Suria FM, Tyzo berakhir pada 12 Januari lalu.

Aminuddin berkata, dalam satu pertemuan bersama Tyzo pada Ogos tahun lalu, pihak pengurusan ada memanggil Tyzo untuk berbincang mengenai pembaharuan kontrak selama setahun.

"Saya bersama Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin serta wakil daripada ketua kandungan Suria FM, JJ dan wakil jabatan sumber manusia bertemu Tyzo bagi membincangkan pembaharuan kontrak selama setahun bermula Oktober 2023 sehingga Oktober 2024.

"Bagaimanapun ketika kami meminta keputusan itu dibuat, dia minta kontraknya disambung cuma enam bulan. Jadi Saya berpendapat dia sudah mempunyai rancangan lain selain mungkin mendapat tawaran lain selepas memenangi kategori Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular BH pada Julai tahun lalu.

TYZO ketika ditemui di Nasi Lemak RUUMA, Damansara 3 Mall. FOTO Genes Gulitah
TYZO ketika ditemui di Nasi Lemak RUUMA, Damansara 3 Mall. FOTO Genes Gulitah

"Dalam pertemuan itu juga kami ulangi betulkah dia mahu kontraknya disambung selama enam bulan saja dan selepas seminggu kemudian dia sahkan dia mahu kontraknya disambung enam bulan saja.

"Jadi secara tidak langsung kontraknya disambung bermula 9 Oktober 2023 sehingga 9 Mac 2024. Di Suria FM setiap pembaharuan kontrak pihak pengurusan akan berbincang dengan saya terlebih dahulu dan saya sendiri membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya tanpa membabitkan pihak lain," katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Menurut Aminuddin, dia meminta perkhidmatan Tyzo ditamatkan lebih awal kerana Suria FM mempunyai perancangan untuk meningkatkan mutu stesen radio itu.

"Disebabkan kita tidak menyambung kontraknya, jadi tidak elok jika dia masih ada kerana kami sudah mengaturkan beberapa perancangan memandangkan bakal menempuh 'survey' pada bulan depan.

"Walaupun perkhidmatannya ditamatkan lebih awal, tapi gajinya masih terus dibayar sehingga 9 Mac ini.

"Malah pada hari terakhirnya dia bertugas saya minta untuk dia rakamkan momen terakhirnya tapi dia tidak berbuat demikian, sebaliknya dia ke udara secara langsung," katanya.

Dalam masa sama, Amiruddin turut mengulas mengenai isu penamatan kontrak Tyzo yang menjadi bualan hangat sebelum ini sehingga ramai meletakkan kesalahan kepada pihak Suria FM.

"Video kononnya Tyzo kata dia dianiaya menjadi tular. Ramai yang simpati kepadanya kerana hanya mendengar sebelah pihak.

"Ramai yang kecam dan menuduh ia berpunca daripada DJ Lin. Semua kecam DJ Lin kononnya dia bertanggungjawab. Sebenarnya DJ Lin adalah mangsa.

"Saya harap isu ini ditamatkan. Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada pihak yang terus memberi komen yang dianggap fitnah," tegasnya," katanya.

Jumaat lalu, Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang, berakhir.

DJ Lin dilaporkan berkata, keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi selain perancangan baharu untuk menghasilkan produk lebih menarik dan segar.

Berita berkaitan:

Saya hanya makan gaji, keputusan akhir dibuat pengurusan tertinggi - DJ Lin

Sudah lali dikecam, jangan babitkan anak-anak saya - DJ Lin

Kontrak tamat, reda sajalah ada rezeki lain - Ikhwan

Soal 'demand' gaji atau tak, Tyzo tunggu kenyataan rasmi Suria

Shiera harap kepulangan Tyzo

'Hot, Era, Sinar, Ikim atau radio RTM, saya sedia bincang' - Tyzo

RTM lamar Tyzo

Hot FM bukan nak ambil Tyzo

Anna Aljuffrey simpati dengan nasib Tyzo

'Politik' stesen radio lebih 'kejam'

'Ini harga terpaksa dibayar lepas menang trofi? - Tyzo

Tyzo tidak lagi bersama Suria FM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 5:32 PM