Shiera dan Tyzo
Shiera dan Tyzo
Fatin Farhana Ariffin


Kuala Lumpur: Penyampai radio Suria FM, Shiera menyifatkan ketiadaan Tyzo di slot Suria Petang bagaikan patah sebelah sayap.

Bergandingan dengan Tyzo sejak 2019 mengendalikan slot Suria Petang, Shiera berkata, dia sudah tentu berasakan satu kehilangan besar.

"Saya bagaikan patah sebelah sayap, tapi apakan daya. Bekerja dengan Tyzo sangat senang sebab seorang yang bijak.

"Ada sahaja idea, semuanya spontan dan kelakar. Tapi, masa yang sama memberi makna.

"Tyzo juga seorang yang suka mendengar dan prihatin. Bukan saya sahaja selesa dengan Tyzo, ramai sukakannya.

"Cuma, hasrat Tyzo nak jadikan stesen radio Suria FM nombor satu tidak tercapai lagi," katanya.

Kata Shiera, dia mengharapkan keajaiban agar dapat digandingkan dengan Tyzo lagi.

"Siapa tahu kami digandingkan semula. Itu sahaja yang saya minta.

"Jujurnya, rasa seperti mimpi bila Tyzo tiada. Apapun, kita doa yang baik-baik buat Tyzo untuk mencapai kejayaan.

"Tyzo rakan gandingan yang menyeronokkan walaupun kami hanya bekerja empat jam dalam sehari.

"Sebab ke mana saya pergi orang tak tanya suami saya, tapi tanya Tyzo," katanya sambil ketawa.

Terdahulu, pengumuman penamatan kontrak Tyzo menjadi kecoh apabila ramai tidak berpuas hati dengan isu pemberhentian, Jumaat lalu.

Tindakan dilakukan pihak pengurusan Suria FM disifatkan tidak wajar, sedangkan slot Suria Petang dikendalikan Tyzo bersama Shiera antara segmen popular setiap petang.

Tidak berpuas hati dengan tindakan stesen radio milik Star Media Group Berhad itu, ramai mengugut mahu memboikot Suria FM.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Suria FM memberi alasan mempunyai perancangan lain untuk stesen radio berkenaan. Isu penamatan kontrak Tyzo akan dijawab dalam satu sidang media, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 11:49 AM