Nizam Laksamana
Nizam Laksamana
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Nizam Laksamana, 55 melahirkan kesyukuran apabila dapat turut sama memandikan jenazah bekas vokalis Jinbara, Tia semalam.

Nizam berkata, dia tiba di Masjid Kota Raja, Klang sekitar jam 7 pagi dan ia seiring dengan ketibaan van yang membawa jenazah Tia atau nama sebenarnya Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, untuk dimandikan.

"Mereka bawa jenazah masuk ke bilik pengurusan jenazah untuk dimandikan. Saya ikut sama dan terdetik dalam hati kalau boleh dapat buat bakti terakhir untuk arwah dengan mandikan jenazahnya.

"Bila sampai masa nak mandikan, Isma Halil pun masuk. Ketua pengurusan jenazah kata, hanya keluarga terdekat boleh berada di situ untuk uruskan jenazah.

"Waktu itu saya rasa macam kena keluar. Namun Isma Halil kata, ini Nizam Laksamana kawan karib arwah.

Mereka benarkan saya ada di situ dan kami sama-sama sempurnakan jenazah," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia terharu dapat berbakti menguruskan jenazah secara terperinci di bahagian. muka, badan, tangan dan belakang badan Tia.

"Alhamdulillah... dapat juga saya beri sesuatu untuk sahabat saya kerana arwah sangat baik, seorang manusia yang semasa hayatnya sangat tenang dan ceria semasa berbual.

"Bila tahu dia ada kanser, saya rasa dekat dengan dia kerana isteri saya pun menghidap kanser. Seolah-olah kami senasib dan ujian buat kami. Itu faktor yang saya nak sangat berbakti.

"Ketika jenazah siap dikafan sebelum tutup muka, ketua pengurusan jenazah kata inilah antara jenazah yang mudah dan senang untuk diuruskan. Nampak jenazah macam dalam keadaan senyum.

"Dalam hati saya berkata, dia seorang yang baik. Mudah-mudahan Allah ampunkan dosanya tempatkan dalam syurga tanpa hisab," katanya.

Nizam turut mendedahkan sepatutnya merancang untuk menampilkan Tia dalam Showcase Amal Artis Legenda 4.0 menampilkan Zamani, Acong Sweetchild, Zarul Umbrella, Tam Spider, Mawi, Shafie Rio, Ameng Spring, Ady Wow dan Dwen yang dijadual berlangsung pada 1 Jun tahun depan.

"Memang saya rancang ada nama-nama yang terbabit pada edisi awal Showcase Amal Artis Legenda 1.0 seperti Tia akan dipanggil tapi saya tak uar-uarkan kerana nak buat kejutan.

"Situasinya sama juga macam Allahyarham Jimmy Screen. Saya rancang nak jemput dia untuk showcase edisi 3.0 tahun lalu, tapi Allah jemputnya awal sama macam Tia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 7:04 PM