NIZAM LAKSAMANA
NIZAM LAKSAMANA
Norhayati Nordin


PENYANYI Nizam Laksamana, 51, tidak kecewa apabila gagal mendapat penaja utama untuk Showcase Amal Artis Lagenda 90-an 2.0 yang akan berlangsung pada 31 Januari 2020 nanti.

Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nizam Pechok berkata, acara amal itu akan tetap diteruskan seperti yang dirancang.

“Walaupun hingga kini saya masih belum berjaya mendapatkan penaja utama, apa yang pasti penjualan meja berhasil.

“Alhamdulillah, daripada 45 meja disediakan, sebanyak 39 meja sudah dijual kepada peminat yang berminat,” katanya.

Nizam berkata situasi itu sudah cukup untuk membuatkan dia menarik nafas lega kerana persembahan amal dirancang bakal terlaksana. “Tak dinafikan, kesukaran utama yang saya lalui sejak beberapa bulan lalu adalah untuk menjual meja.

“Bimbang juga jika meja tak terjual kerana tujuan asal saya mengajak rakan lama menyertai persembahan amal ini adalah untuk mengumpul dana membantu anak insan seni yang memerlukan.

“Projek ini bukan untuk saya mencari untung atau jadi kaya tetapi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Nizam berkata selain insan seni, dana dikumpul juga akan disalurkan bagi membantu keluarga asnaf, anak yatim dan menyantuni saudara gelandangan.

“Saya bersemangat mahu memastikan persembahan amal ini dapat dilaksanakan kerana prihatin dengan nasib orang lain.

“Di negara ini, masih ramai hidup susah dan mereka sangat memerlukan bantuan,” katanya.

Mengulas kesukaran mendapatkan kerjasama syarikat korporat, Nizam berkata pembabitannya dalam penganjuran acara masih baru. “Portfolio saya masih belum kukuh lagi untuk menarik keyakinan syarikat korporat untuk menaja. Maklumlah setakat ini baru tiga acara saya kendalikan.

“Malah, saya sedar nama tidak sepopular penyanyi lain. Jadi, saya harus akur dengan keadaan,” katanya.

Persembahan amal itu membabitkan penyanyi era 90-an seperti Ali XPDC, Sham Visa, Gmie Screen, Amir Ukays, Zarul Umbrella dan Ameng Springs.

Nizam turut mengakui bertuah kerana penyanyi popular Khai Bahar sudi menyertai acara itu.

Januari lalu Nizam berjaya menganjurkan Showcase Amal Artis Lagenda 90-an buat kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:46 PM