Mohd Nizam Pechok.
Mohd Nizam Pechok.
Norhayati Nordin


PENYANYI Nizam Laksamana, 54, serta isteri dan dua anaknya menjalani saringan kesihatan dan pengesanan Covid-19, hari ini apabila bapa mentuanya disahkan positif Covid-19 semalam.

Nizam atau nama sebenarnya Mohd Nizam Pechok berkata, pemeriksaan itu dibuat berikutan dia dan isteri, Salwati Zulkifli, 45, serta dua anak mereka, Nur Ellis Adeeba, 25, dan Nur Ellisa Adeera, 16, antara kontak rapat pesakit.

"Bapa mentua sudah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban semalam untuk kuarantin dan rawatan. Menerusi maklumat daripada bapa mentua selaku pesakit, saya dan keluarga dihubungi Kementerian Kesihatan untuk melakukan ujian saringan Covid-19. Kami diminta menjalani pemeriksaan saringan di Pusat Komuniti Batu Muda hari ini," katanya kepada Harian Metro.

Nizam mengakui dia berdebar dan bimbang untuk menunggu keputusan pemeriksaan saringan itu dan sekarang mereka menjalani kuarantin di rumah.

"Sejujurnya, perasaan saya sekarang tidak menentu. Berdebar, risau, takut, sedih, semuanya ada kerana wabak Covid-19 ini bahaya dan kini masih menular.

"Rasanya selagi keputusan pemeriksaan belum diketahui, sesiapa saja akan rasa dan fikir macam-macam. Untuk saya dan keluarga, mohon doakan buat kami semuanya pulih," katanya.

Nizam berkata, mereka sekeluarga ada pulang ke kampung sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

“Difahamkan, bapa mentua ada kontak rapat dengan imam di surau kampung berkenaan dan imam itu pula adalah kontak rapat dengan salah seorang jemaah yang mengikuti perhimpunan Tabligh di Sri Petaling.

"Apapun, perkara yang berlaku ini saya anggap dugaan Allah buat kami sekeluarga. Tidak ada sesiapa pun perlu dipersalahkan atau tuding jari kepadanya.

"Doa saya sekarang, semoga tidak ada apa-apa dan bapa mentua saya kembali sihat. Semoga Allah memberi kesembuhan pada penyakit ini," katanya.

Nizam berkata, ibu mentuanya juga menjalani kuarantin di kampung.

Katanya, dalam keadaan sekarang kerjasama pesakit penting untuk tidak sembunyikan maklumat sebenar. "Mentua saya setiap hari hubungi kami memohon maaf kerana apa yang berlaku. Jadi, saya fikir ini antara sebab kenapa pesakit bertindak untuk berahsia.

"Perassan bersalah itu walaupun ia adalah dugaan Allah. Apapun, saya minta semua rakyat jangan ingkar arahan PKP dibuat kerajaan," katanya.

Penyanyi lagu Gugurnya Bunga Cinta ini berkata, sekarang kita semua kita bersatu untuk kerjasama supaya rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan segera.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:06 PM