Pengarah Nizam Laksama Production dan Penyanyi, Nizam Laksamana pada Sidang Media Showcase Amal Artis Legenda 4.0 di Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur. FOTO AIMAN FARHAN
Pengarah Nizam Laksama Production dan Penyanyi, Nizam Laksamana pada Sidang Media Showcase Amal Artis Legenda 4.0 di Grand Barakah Hotel, Ampang, Kuala Lumpur. FOTO AIMAN FARHAN
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Nizam Laksamana melahirkan kekecewaan dan kesedihan kerana sukar mendapat dana atau tajaan untuk Showcase Amal Artis Legenda 4.0 anjuran syarikatnya, Nizam Laksamana Production.

Nizam atau nama sebenarnya, Mohd Nizam Pechok, 57, berkata, seolah-olah wujud kasta atau sikap pilih kasih dalam pemberian dana atau tajaan daripada pihak-pihak tertentu bagi membantunya merealisasikan persembahan berbentuk amal ini. 

"Saya dah cuba tanya dana yang disediakan untuk penggiat industri seperti saya. Bukan pertama kali saya anjurkan showcase tapi ini dah masuk kali keempat, tapi masih lagi gagal untuk dapat bantuan atau sokongan daripada pihak yang bertanggungjawab. 

"Saya rasa kena ada gelaran Datuk baru saya akan dipandang sebab dalam industri ini ada kasta tersendiri. Ini realiti yang terjadi dalam industri sekarang.

"Tujuan saya buat showcase ini untuk bantu rakan-rakan artis veteran dan penggiat industri yang susah atau bernasib malang, namun ia nampaknya sukar dapat sokongan daripada 'pihak atasan' bagi memudahkan urusan penganjurannya," katanya pada sidang media Showcase Amal Artis Legenda 4.0 di Hotel Grand Barakah, Ampang, hari ini.

Nizam yang popular menerusi lagu Gugurnya Bunga Cinta pada era 1990-an berkata, dalam kertas kerja yang diajukan kepada pihak-pihak terbabit, dia tidak pernah menyembunyikan fakta penganjuran showcase ini yang berbentuk amal.

"Tiada sebarang keuntungan, sebaliknya 100 peratus akan digunakan untuk kerja-kerja kebajikan. Malah kru yang terbabit juga tak akan dapat bayaran gaji. 

"Adakah saya perlu bertindak tidak jujur baru dapat (sokongan). Saya bukan minta banyak, saya mahu 'melepaskan' tujuan untuk membantu dan atas tanda ingatan kepada rakan seperjuangan yang memerlukan.

"Ramai kawan-kawan kami dulu sedang mengalami kesusahan hidup sekarang dan yang tahu kesusahan mereka adalah artis bahawa ada yang bersusah payah berniaga untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Dia turut meminta persatuan berkaitan artis memberikan sokongan atau sekurang-kurangnya bertanya khabar berkenaan penganjuran showcase ini. 

"Saya buat ini sebagai tanda ingatan kepada rakan memerlukan. Saya minta kalau boleh siapa yang mempunyai nama besar, kalau nampak kawan-kawan seperjuangan dulu yang bergelut dengan hidup, cubalah bantu mereka.

"Persatuan juga cuba datang lihat apa sebenarnya yang terjadi dan saling membantu. Saya harap orang ramai boleh beli meja untuk permudahkan perjalanan showcase amal ini.

"Saya akui sangat penat untuk teruskan kerja ini tanpa sokongan. Jadi saya akan berhenti menganjurkannya selepas yang terakhir ini. Mujur untuk yang ini ada rakan-rakan yang memberi semangat," katanya.

Dia turut bersyukur artis-artis yang terbabit iaitu Zamani Slam, Zarul Umbrella, Acong Sweetchild, Tam Spider, Ameng Spring, Shafie Rio, Ady Wow, Dwen, Mawi dan Wann tidak berkira soal bayaran untuk persembahan. 

Menerusi misi kali ini, Nizam akan membantu seramai 20 artis lama termasuk bekas wartawan hiburan yang memerlukan.

"Showcase ini untuk bantu kira-kira 20 artis lama yang memerlukan. Kami juga ada hajat untuk sama-sama menyantuni bekas wartawan hiburan seperti Nas Ahmad dan beberapa lagi yang disenaraikan," katanya.

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 dijadual berlangsung pada 1 Jun depan di Hotel Grand Barakah, Ampang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 10:57 PM