NIZAM ketika ditemui hari ini. FOTO Omar Ahmad
NIZAM ketika ditemui hari ini. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru : "Arwah abang Hamdan selalu berpesan kepada saya, jangan tinggal solat, jangan sesekali tinggal solat."

Demikian luahan hati Pengurus Senario, Nizam Othman yang sudah 26 tahun menguruskan kumpulan lawak tanah air, Senario sejak awal penubuhannya 1996.

Nizam berkata Hamdan atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54 menghembuskan nafas pada hari Jumaat yang mulia, penghulu segala hari.

"Arwah Abang Hamdan selalu berpesan kepada saya. Zam (Nizam) jaga diri, jaga keluarga, jangan tinggal solat, buat baik dengan semua orang.

"Arwah juga pesan maafkan semua orang, biar orang buat kita mungkin mereka hendak mengisi masa lapang. Ingat Zam (Nizam) Allah sentiasa ada, jangan kita mengata orang dan ada niat tak elok kepada orang tak baik.

"Ayat itu berulang kali dan tidak pernah lekang keluar dari bibir arwah Abang Hamdan sepanjang hayat dia, setiap kali saya bertemu dengannya, "katanya sebak menceritakan kebaikan yang pernah dilakukan arwah.

Menurut Nizam, ahli keluarga Senario umpama abang-abang dan adiknya (Yassin).

Malah sikap Hamdan yang sering mengambil berat terhadap setiap ahli kumpulan Senario termasuk dirinya menyebabkan mereka seperti ahli keluarga.

"Apabila anaknya memaklumkan oksigen arwah abang Hamdan hanya tinggal 20 peratus pagi tadi, saya yang memang berada di Johor Bahru sejak Isnin lalu terus bergegas ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Saya sempat menatap wajah arwah kali terakhir, hanya Allah saja tahu kebaikan apa yang pernah arwah lakukan sepanjang hayatnya, "katanya yang memaklumkan kali terakhir membuat penggambaran bersama filem Jaga-Jaga Senariounion yang juga filem ke 11 kumpulan itu.

Nizam memaklumkan jenazah Hamdan akan dibawa pulang dari Johor Bahru ke Perak.

Difahamkan, jenazah akan disolatkan di Masjid Taman Perpaduan, Perak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Perak.

"Keluarga minta untuk kita segerakan urusan pengebumian arwah abang Hamdan, perjalanan dari Johor Bahru ke Perak mungkin ambil masa tujuh jam.

"Jika sampai malam, jenazah juga akan dikebumikan malam ini, "katanya.

Hamdan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.50 tengahari di HSA, jenazahnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSA untuk dimandikan dan dikafankan.

Terdahulu, pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA Johor Bahru akibat komplikasi buah pinggang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 4:22 PM