Nizam Laksamana (tengah) bersama pasukannya
Nizam Laksamana (tengah) bersama pasukannya
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Nizam Laksamana memberikan alasan urusan keluarga dan beberapa faktor lain menyebabkan Showcase Amal 4.0: Artis Legenda yang sepatutnya berlangsung Ogos ini terpaksa ditunda.

Nizam berkata, anak sulungnya akan berkahwin pada Ogos manakala dalam masa terdekat anak kedua pula nak bertunang.

"Kebetulan pula kami pun baru kematian ahli keluarga dalam masa terdekat. Jadi benda-benda ini buat saya agak terkesan.

"Untuk urusan kahwin anak sulung memang banyak persediaan kena buat. Kalau ikutkan, perancangan showcase hujung Ogos.

"Tapi bila tengok pada keadaan semasa. Urusan untuk nikah kena betul-betul rapi kerana kami nak sambut menantu pertama dalam keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Nizam menerusi Facebooknya April lalu membayangkan showcase ini seakan tidak jadi dilangsungkan sehingga menimbulkan persoalan dikalangan peminatnya.

Menurutnya, sekiranya showcase dibuat pada bulan yang sama, dia perlu beri tumpuan dan hanya fikir berkenaan showcase saja.

"Banyak yang perlu dibuat dan saya rasa tak dapat bagi komitmen penuh. Takut berlaku kegagalan atau tercicir mana-mana bahagian. Untuk selamat kenalah tangguhkan dulu.

"Untuk lebih selamat, kemungkinan saya buat hujung tahun atau awal tahun depan. Lokasi setakat ini masih dikekalkan di Bangi. Tapi team saya terdiri daripada Azmi Jamsari dan Remy Daud beritahu ada tempat lain juga yang dikenal pasti.

"Perkara ini akan dimuktamadkan nanti. Harga tiket pun menjadi masalah kerana harga makanan sekarang naik 40 hingga 50 peratus. Konsep showcase ialah makan malam," katanya.

Nizam berkata, sejak pengumuman showcase dibuat, sebanyak 20 meja sudah ditempah tetapi pihaknya belum mahu mengambil sebarang wang deposit.

"Untuk kali ini kami berhasrat untuk cari penaja. Takkanlah dah tiga kali berjaya anjurkan masih tiada penaja nak bantu. Lagipun ia bukan show suka-suka tapi lebih kepada show amal bantu NGO, Majlis Kanser Nasional (Makna) dan artis-artis yang kurang sihat.

"Memang saya pernah minta dana dari MyCreative Ventures tapi tak berjaya. Saya pun tak faham, sepatutnya dah tiga kali buat boleh dapat. Dua kali saya mohon termasuk dana pemasaran tapi setakat ini diam tanpa jawapan.

"Apapun saya tak berputus asa dan akan berjuang bersama-sama team saya untuk buat juga showcase ini seperti dirancang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 7:11 PM