Bob Yusof.
Bob Yusof.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur : Naib juara Gegar Vaganza 9 (GV9), Bob Yusof tidak pernah berasakan dirinya adalah penyanyi 'Gred A' sebagaimana dilabelkan beberapa pihak yang mengetahui dia juga guru vokal Dayang Nurfaizah untuk menyanyikan lagu-lagu tradisional.

Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop, 42, berkata, dia hanya penyanyi dan guru vokal yang mempunyai minat mendalam dalam karier nyanyian sejak kanak-kanak dan menyertai Akademi Fantasia 2 (AF2) pada 2004.

"Saya banyak belajar dari pengalaman yang ditimba selama berbelas tahun ini sebagai penyanyi. Malah, saya juga begitu meminati irama tradisional dan tahu menyanyikannya dengan lenggok serta cengkok Melayu asli yang betul.

"Jadi, apabila ada rakan penyanyi seperti Dayang Nurfaizah yang meminta khidmat saya untuk beri dia tunjuk ajar, memang saya tiada masalah melatihnya menyanyikan lagu irama tradisional dengan teknik yang betul. Tapi, saya tetap bukanlah penyanyi 'Gred A' seperti dilabelkan itu," katanya kepada Harian Metro.

Bob berkata, hingga kini bayaran diletakkannya untuk satu-satu tawaran menyanyi diterima juga setimpal. Ia tidak terlalu mahal dan tidak juga terlalu rendah, tetapi berbaloi.

"Saya juga masih menerima tawaran 'show' di pusat-pusat beli-belah dan 'fun fair' asalkan dapat dekat dengan peminat. Sebagai penyanyi, 'nadi' kejayaan seseorang artis bergantung pada sokongan peminat.

"Bagaimanapun, saya bukanlah penyanyi berstatus 'Gred A' didakwa itu. Saya adalah anak seni yang cintakan kariernya dan mahu terus kekal relevan di dalam industri dengan sokongan padu ramai. Malah, paling utama terus mendapat tawaran menyanyi. Itu yang penting untuk pendapatan," katanya.

Terbaharu, Bob mengakui berasa amat teruja mendapat tawaran berganding satu pentas dalam konsert istimewa yang akan disertainya bersama penghibur berkaliber seperti Datuk Hail Amir, Ziana Zain dan Sanisah Huri tidak lama lagi.

Bob bakal menjayakan Konsert Raya Sepanjang Zaman dengan diiringi kira-kira 60 pemuzik profesional luar negara daripada Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) KLCC, pada 6 Mei depan, mulai jam 8.30 malam.

Katanya, ia adalah peluang kali pertama dia akan bekerjasama dengan pemuzik MPO yang dipimpin oleh Konduktor Muzik, Ahmad Muriz Che Rose.

Katanya, dia amat berterima kasih dengan kepercayaan besar diberikan Ahmad Muriz walaupun sedar dirinya bukan dalam kalangan penyanyi popular dan terkenal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 7:32 PM