PERSEMBAHAN Dayang pukau penonton pada konsert malam itu.
PERSEMBAHAN Dayang pukau penonton pada konsert malam itu.
Ramlah Zainal


KALI terakhir, penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah beraksi di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) ialah pada 2014.

Selepas lebih lapan tahun, Dayang kembali beraksi mengangkat karya irama klasik di DFP menerusi Konsert Dayang Nurfaizah & MPO: Belagu di pentas seni berprestij itu.

Bagai dijangka, penyanyi kelahiran bumi kenyalang itu berjaya memukau penonton dengan vokal emasnya menerusi rangkaian 17 lagu klasik di mana susunan muziknya digubah untuk menjadi lebih segar, namun, keasliannya terpelihara.

Antara lagu yang disampaikan Dayang adalah Tudung Periuk; Tari Tualang Tiga, Ketipang Payung, Sejak Ku Bertemu Padamu, Gurindam Jiwa, Malam Ku Bermimpi; Kenang Daku Dalam Doamu; Nak Dara Rindu; Mengapa Dirindu; Dari Hati Ke Hati; Rindu Menyapa, Jauh Di Mata, Tak Seindah Wajah, Umpan Jinak Di Air Tenang dan lagu baharu, Rindu Menyapa.

Ketika ditemui selepas konsert, Dayang atau nama penuh, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42, berkata, dia bersyukur kerana penganjuran konsert itu mencapai objektifnya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjayakan konsert bersama MPO.

"Ia adalah pengalaman sangat berharga buat saya. Saya fikir aturan Tuhan cukup cantik kerana selepas saya muncul dengan album Belagu II, tawaran untuk mengadakan konsert ini tiba.

"Saya berasa terharu melihat sambutan penonton. Walaupun penat, namun, melihat penonton terhibur dengan menyanyi bersama menjadikan saya lebih bersemangat.

DAYANG bijak berkomunikasi dan mengusik penonton.
DAYANG bijak berkomunikasi dan mengusik penonton.

"Saya melihat objektif memperkenalkan lagu klasik kepada penonton serta mahu mereka menghargainya sudah tercapai," katanya.

Ditanya, cabaran menyampaikan lagu irama klasik, Dayang mengakui perkara itu.

"Rangkaian lagu yang disampaikan mencabar kerana emosinya naik dan turun. Tapi nak buat macam mana, saya yang susun sendiri rangkaian lagu yang dipilih untuk konsert ini," katanya.

Sementara itu, persembahan Dayang pada malam itu diiringi pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose serta penerbit album Belagu dan Belagu II, Aubrey Suwito.

Sesuai dengan kematangan usia dan pengalaman luasnya sebagai penghibur, Dayang tampil cukup yakin untuk berkomunikasi dan mengusik penonton di pentas.

Suasana dalam pentas DFP bertukar sebak apabila Dayang mengimbau persahabatan dan memberi penghormatan kepada penulis lirik dan wartawan akhbar Harian Metro, Allahyarham Rudy Imran Shamsuddin atau nama pena Iman Imran yang turut melakar sejarah dalam karier seninya menerusi lagi Menanti Di Ambang Syurga. Arwah Rudy meninggal dunia kerana kanser usus pada Mac tahun lalu.

Dayang juga menutup tirai konsertnya pada malam itu dengan lagu Allahyarham Datuk Ahmad Jais iaitu Umpan Jinak di Air Tenang dendangan Ahmad Jais serta mengajak penonton menari dan menyanyi dengannya.

Pada konsert itu, Dayang tampil anggun dengan tiga busana rekaan Faizul Uziaf dalam konsert berdurasi dua jam itu.

Penganjuran konsert ini sempena meraikan tahun ke-25 penubuhan MPO, selain memberi penghargaan kepada usaha Dayang mengambil inisiatif memberi nafas baharu pada lagu klasik melalui projek album Belagu dan Belagu II.

Album Belagu dan Belagu II, objektifnya mengangkat lagu Melayu klasik ke mata dunia diterbitkan syarikat produksi milik Dayang Nurfaizah, DN & AD Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) atau kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 6:14 AM