Ebby Yus
Ebby Yus
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelawak dan pelakon, Ebby Yus, 58, berharap agar dia tidak menjalani rawatan dialisis berikutan keadaan buah pinggang yang rosak, selain tahap kekuatan jantungnya kini tinggal kira-kira 27 peratus saja.

Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid ketika dihubungi berkata, keadaan kesihatannya sekarang di bawah pemantauan lanjut doktor selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) lebih seminggu pada awal Februari lalu.

"Tahap kekuatan jantung saya memang dah tinggal 27 peratus. Sekarang pun saya dah balik ke rumah dan perlu menjaga keadaan kesihatan diri sebelum menjalani pemeriksaan semula di hospital bulan depan. Pemeriksaan itu untuk memastikan saya perlu mulakan dialisis atau tidak. Tapi, doktor dah minta saya bersiap sedia.

"Kalau boleh, saya sebenarnya tak mahu buat dialisis. Tapi, tak tahulah sebab semua bergantung pada keputusan pemeriksaan doktor. Cuma, di rumah kini saya kurangkan minum air sebanyak 500 mililiter sehari. Saya memang kena kawal minum air sebab masalah buah pinggang ini," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas keadaan kesihatannya sehingga dimasukkan ke hospital, Ebby berkata, badannya membengkak akibat dipenuhi air kerana buah pinggang tidak mampu memproses air keluar dari badan sehingga menyebabkan sesak nafas.

"Sepanjang lebih seminggu di HKL, ada beberapa hari saya dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU). Ia berikutan masalah jantung dan buah pinggang selain turut dikesan mempunyai masalah saraf dan prostat juga.

"Tubuh saya terlalu lemah sehingga tidak mampu berjalan dan sesak nafas sehingga terpaksa meminta rakan segera menghantar ke HKL. Selama di hospital, doktor ada tebuk untuk keluarkan air dalam badan," katanya.

Ebby berkata, dia tetap melihat positif terhadap ujian kesihatan dialaminya kini.

Katanya, dia akan berusaha menjaga kesihatan sebaik mungkin dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 2:38 PM