Ebby Yus.
Ebby Yus.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon, Ebby Yus, 58, kini melakukan rawatan alternatif secara moden dan tradisional di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya bagi merawat penyakit jantung dan buah pinggang dihadapinya.

Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid  dihubungi berkata, dia bersyukur keadaan buah pinggangnya masih stabil dan tidak memerlukan untuk membuat dialisis ketika pemeriksaan doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.

"Alhamdulillah, saya lega sangat dengan keputusan pemeriksaan doktor terhadap masalah buah pinggang itu. Syukur tidak perlu buat dialisis lagi dan saya kena berusaha untuk cuba buat rawatan alternatif.

"Kebetulan rezeki saya, ada pihak perubatan ingin menaja rawatan alternatif di tempat mereka dan saya ingin mencubanya. Alhamdulillah, saya sudah melengkapkan empat kali rawatan setakat ini daripada 35 sesi ditetapkan.

"Setiap kali sesi dihadiri selama tiga jam dan hari-hari kena hadir ke pusat rawatan itu. Untuk beberapa hari dirawat ini, saya dapat rasakan tahap kesihatan ada perubahan apabila diri terasa 'fresh' (segar), termasuk kurang rasa letih dan lemah badan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai pemeriksaan berkala di hospital, Ebby berkata, dia akan terus berjumpa doktor pakar mengikut temu janji akan datang pada Mei depan. Ujarnya, apapun rawatan alternatif dibuat itu masih membolehkan dia berpuasa penuh.

Sebelum ini, Ebby memaklumkan dia dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL selama beberapa hari kerana masalah jantung dan buah pinggang rosak pada awal Februari lalu.

Lebih seminggu di hospital untuk rawatan lanjut, Ebby berkata, ia disebabkan badannya membengkak akibat dipenuhi air kerana buah pinggang tidak mampu memproses air keluar dari badan sehingga menyebabkan sesak nafas.

Masih berehat dari aktiviti seni, Ebby berkata, dia bersyukur diberikan rezeki lain oleh Allah untuk bergabung semula dengan rakan kongsinya, Adam dan membuka Adam Lai Kitchen di Medan Selera Kampung Baru, sejak lebih seminggu lalu.

"Bagi yang pernah menikmati masakan makanan Cina enak air tangan Adam sebelum ini, dia kembali di dapur semula dan kami menjadi rakan kongsi kembali. Alhamdulillah, Allah memberi peluang rezeki lain lagi untuk saya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 4:15 PM