EBBY dakwa alami jangkitan kuman ketika tersebar berita dia meninggal dunia.
EBBY dakwa alami jangkitan kuman ketika tersebar berita dia meninggal dunia.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Sebelum ini tersebar khabar angin mengatakan pelakon dan pelawak popular Ebby Yus, 51, meninggal dunia.

Berita palsu itu tersebar selepas Ebby dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, Sabah akibat masalah paru-paru, November lalu.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid ketika ditemui di lokasi penggambaran telemovie Kaki Kipas baru-baru ini memaklumkan mengenai kesihatannya sudah semakin stabil.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sekarang memang stabil. Memang saya sakit sejak beberapa tahun lalu, tetapi paling teruk akibat masalah paru-paru ketika berada di Sabah, bulan lalu hingga timbul dakwaan mengatakan saya meninggal dunia.

“Ketika itu saya mengalami demam dan batuk-batuk sebelum diserang sesak nafas. Waktu itu juga negara sedang dilanda jerebu teruk dan keadaan itu membuatkan kesihatan saya makin teruk,” katanya.

Ebby berkata, ketika di hospital berkenaan, doktor yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan dia terkena jangkitan kuman.

“Mereka takut ia kuman berbahaya seperti kencing tikus dan sebagainya,” katanya.

Katanya, ketika dirawat dia diberi antibiotik dan selepas itu keadaannya beransur pulih.

Apabila pulang ke Kuala Lumpur, dia membuat pemeriksaan susulan di Hospital Kuala Lumpur dan keadaannya kembali stabil.

Sekarang nak ‘shooting’ baru dapat skrip

Sebagai pelakon senior, Ebby berkongsi cerita mengenai perbezaan di antara bidang lakonan hari ini berbanding zamannya pada awal 1990-an dulu.

“Kebiasaannya, dulu kami diberi skrip paling lambat sebulan sebelum penggambaran, tetapi sekarang ada yang hari ini nak menjalani penggambaran, barulah diberi skrip.

“Bukan mudah sebenarnya nak menjiwai watak. Ia perlukan masa untuk memahami dan adaptasi kehidupan sebenar kepada kehidupan watak yang dibawakan.

“Dulu selepas mendapat skrip, kami berkumpul dan berbincang apa dan bagaimana untuk menjiwai sesuatu watak. Kami akan hubungkan watak antara watak dan kerja dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Ebby berkata, dia turut menolak beberapa tawaran berlakon dalam drama berat yang memerlukannya menjiwai watak atas beberapa faktor.

“Bukan hanya tawaran untuk karya komedi, tetapi juga untuk watak yang lebih serius dan bermain dengan emosi. Kebanyakannya saya tolak kerana kesihatan dan faktor usia. Penat dan menggunakan tenaga sebenarnya untuk menjayakan watak beremosi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:01 AM