SAIFUL Apek tidak hanyut dengan status sebagai pelawak senior.
SAIFUL Apek tidak hanyut dengan status sebagai pelawak senior.
Syafil Syazwan Jefri


NAMA Saiful Apek bukanlah asing lebih-lebih lagi, buat peminat industri seni tanah air, khususnya karya-karya bergenre komedi.

Pernah memegang status gelaran sebagai Pelawak Nombor Satu Malaysia dan digelar dengan label 'Sifu', Saiful Apek masih lagi bergiat aktif dan berkarya sehingga ke hari ini.

Walaupun pengalamannya sudah cukup tinggi, pelawak dengan nama sebenar Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff tidak pernah meninggi diri, malah, sentiasa melihat cerminan dirinya dalam diri bintang-bintang baharu.

"Saya melihat pelakon-pelakon baharu ini sama seperti saya suatu ketika dahulu. Saya tahu apa yang mereka rasakan dan bagaimana wujud rasa 'gabra' itu, lebih-lebih lagi apabila bergandingan dengan pelakon yang lebih senior," katanya.

Berkongsi mengenai pencarian keserasian antaranya dengan pelakon-pelakon baharu saat bergandingan dalam sesuatu karya, Apek menjalankan tugasnya untuk memastikan mereka rasa selesa.

"Jadi, saya akan 'beli jiwa' mereka terlebih dahulu supaya mereka tak rasa kekok sebab kami perlu bekerjasama. Perkara paling utama adalah, buang rasa gemuruh mereka terhadap saya.

"Saya jelaskan kepada mereka, apa fungsi mereka dan watak mereka. Apa perlu mereka lakukan dan bagaimana nak pastikan lakonan dalam sesuatu babak itu menjadi. Ada bahagian yang mereka perlu lebih 'tinggi' (menonjol) daripada saya," katanya.

Strategi itu juga diterapkannya ketika membintangi filem terbaharu lakonannya, yang baru sahaja ditayangkan di pawagam berjudul Hantu Tenggek.

Dalam filem bergenre komedi seram ini, Apek menjadi antara tunjang utama dalam menyatukan watak-watak yang diterajui oleh pelawak dan pelakon generasi baharu.

"Walaupun filem ini adalah filem komedi, saya beritahu kepada pelakon-pelakon baharu terutamanya, mereka yang bukan pelakon komedi supaya tidak terlalu bergelut (struggle) untuk watak. Biar pelakon komedi yang ada dalam filem ini yang melakukan tugas mereka untuk babak dan dialog komedi.

SAIFUL Apek ingin teroka lebih banyak watak serius.
SAIFUL Apek ingin teroka lebih banyak watak serius.

"Nanti, kalau mereka terlalu bergelut, mereka akan rasa seperti ruang itu bukan untuk mereka dan umpama membazir waktu," katanya.

Berkongsi mengenai filem Hantu Tenggek, Apek melihat ini antara karya yang menjadi hasil 'post mortem' selepas beberapa tahun industri seni perfileman tanah air menyepi akibat pandemik.

"Tempoh hampir tiga tahun kita melalui fasa pandemik umpama satu proses 'post mortem' untuk kita melihat semula diri kita, dan melihat juga kekurangan yang perlu diperbaiki dalam industri.

"Kebelakangan ini, saya kerap ditawarkan untuk berlakon dalam karya bergenre komedi seram. Walau bagaimanapun, saya akan pastikan bahawa karya itu tidak berulang dari segi watak dan jalan ceritanya.

"Dari skrip pun, Profesor (Datuk Prof A. Razak Mohaideen) ada berikan kelonggaran. Apa yang kurang, saya diberikan ruang untuk buat penambahbaikan dari segi skrip. Apa yang tak perlu, saya akan buang. Penambahbaikan dari segi intonasi, cara saya lakonkan dan cara sampaikan.

"Kadang-kadang, kita boleh berikan benda (idea pembawakan lakonan) kepada tiga orang berbeza, tentunya kita akan dapat tampilkan sesuatu yang berbeza dalam sesuatu karya. Dalam karya ini, apa yang digambarkan penulis skrip dan pengarah dapat disampaikan. Itu yang saya nampak," katanya.

Berkongsi pandangan dan pengalamannya, Apek menegaskan mengenai pentingnya seseorang pelakon itu hadir di acara tayangan perdana filem yang dilakonkan.

"Tayangan perdana penting untuk kita (pelakon) melihat secara keseluruhan selepas karya itu digabungkan dengan muzik, kesan bunyi, hasil suntingan dan sebagainya.

"Apa yang boleh saya katakan, filem Hantu Tenggek ini konsisten dan kompak. Secara keseluruhan, bahagian yang membabitkan saya memang dah okay," katanya.

Selain filem bergenre sama contohnya, sebelum ini, Apek berlakon dalam dua filem iaitu Rumah Maduku Berhantu dan Sumpahan Syaitan, dia juga melihat ruang untuknya berkarya semakin terbuka luas apabila mula ditawarkan watak yang lebih serius.

"Selain itu, sejak kebelakangan ini juga, saya kerap ditawarkan untuk berlakon dalam karya yang memerlukan saya untuk berlakon watak lebih serius.

"Saya melihat perkembangan ini sebagai tanda kepercayaan pihak syarikat produksi dan pembikin filem, yang mana, yakin dengan kemampuan saya untuk berlakon watak begitu.

"Saya sendiri sebagai pelakon akan menyahut cabaran ini kerana ia umpama satu pelengkap buat perjalanan karier saya," katanya.

Tambahnya, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sentiasa menjadi rujukan dan contoh terbaik untuknya.

"Saya melihat kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai contohnya. Untuk menjadi sepertinya, mungkin prosesnya sangat jauh dan tak mungkin. Tapi, dia adalah contoh pelakon yang lengkap.

"Jadi, saya melihat tawaran-tawaran untuk watak sebegini sebagai pelengkap untuk karier lakonan saya. Secara tak langsung, ini menunjukkan sisi lain Saiful Apek.

"Suatu ketika dahulu, saya menyimpan impian untuk menjadi penyanyi dan dapat merealisasikannya. Sekarang, saya inginkan sesuatu yang berbeza contohnya, watak antagonis dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 6:20 AM