ZIANA Zain, Pontianak 200kg. FOTO Saifullizan Tamadi
ZIANA Zain, Pontianak 200kg. FOTO Saifullizan Tamadi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain hanya mahu membawakan watak komedi dalam lakonannya.

Ziana berkata, genre komedi sesuai dengan umurnya sekarang, malah komedi mudah diterima semua peringkat umur termasuk kanak-kanak.

"Cerita yang serius itu mungkin tak ramai yang nak menonton. Mungkin orang dalam keadaan 'stress' dan sukakan sesuatu yang gembira. Saya pun kalau boleh nak tengok cerita kelakar.

"Yang terlalu 'stress' tak nak tengok dah. Macam bawa watak berat, ia akan buat saya terbawa-bawa ke rumah. Dalam keadaan kita sekarang, saya cuba elakkan watak begitu.

"Ambillah watak yang menggembirakan. Jadi untuk masa sekarang, saya memang tak nak watak serius atau berat," katanya kepada Harian Metro.

Ziana berkata, dia perlu melihat pada keadaan sekiranya ditawarkan watak sebegitu pada masa akan datang.

"Tapi kalau bolehlah, saya nak watak 'happy' dan tak nak yang sedih-sedih atau berat. Tak seronoklah, lari 'mood' kita nanti.

"Begitu juga dengan watak-watak cinta, dah tak sesuai dah. Malu pada anak-anak nanti. Biarlah cerita kelakar saja.

"Berlakon sebenarnya perlukan komitmen tinggi. Masa yang diambil agak panjang. Fokus saya pada nyanyian," katanya.

Menurutnya, lakonan sekadar mengisi kerinduan untuk berkumpul dengan pelakon-pelakon lain dan kru produksi.

"Jadinya saya pun suka komedi. Saya dah buat dua drama dan satu filem komedi dan tak kisah dilabel pelakon komedi selepas ini," katanya.

Ziana baru selesai membintangi Pontianak 200kg arahan Shuhaimi Lua Abdullah terbitan bersama MIG Production Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd.

Filem arahan Shuhaimi Lua ini turut menampilkan lakonan Aya Amiruddin, Ropie Cecupak, Syaiful dan Sharif Zero, Dottie, Wan Ahmad dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 4:28 PM