AWIE, Ropie dan Reen Rahim tampil dalam filem seram komedi, Sue-On. FOTO Aziah Azmee
AWIE, Ropie dan Reen Rahim tampil dalam filem seram komedi, Sue-On. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


BAGI peminat filem bergenre seram komedi, tentunya kita semua akan rindukan karya-karya hasil tangan pengarah, Allahyarham Mamat Khalid.

Sebut sahaja judul popular francais Hantu Kak Limah, tentunya kita akan tersengih sendiri mengimbau babak-babak mencuit hati dan pada masa sama, mencemaskan.

Kini, kerinduan itu bakal terubat dengan kehadiran filem bergenre sama berjudul Sue-On yang akan 'menghantui' pawagam seluruh negara bermula 6 Julai ini.

Menariknya, filem seram ini menjadi filem pertama terbitan Rumah Produksi Merah milik penyanyi dan pelakon, Datuk Awie, yang mana turut menjadi teraju utama dalam filem arahan pengarah Razif Ajiboy Rashid.

Hadir bersama dua lagi bintang filem ini iaitu Ropie dan Reen Rahim, Awie berkongsi mengenai inspirasi dalam penghasilan filem itu dan aspirasinya untuk memberi penghormatan kepada Mamat.

"Penggambaran filem ini dijalankan pada 2021 dan ini adalah filem pertama terbitan syarikat produksi saya. Ia lebih kepada 'tribute' kepada arwah Abang Mamat.

"Penggambarannya dijalankan di Taiping dan Kuala Kangsar serta memakan masa antara dua ke tiga minggu.

"Kami tak gunakan nama watak yang sama seperti filem-filem arahan Abang Mamat, tapi karakternya lebih kurang sama," katanya.

Memegang peranan sebagai Mat Dosa, mungkin ramai akan terimbau watak Husin yang pernah dibawakannya dalam filem Hantu Kak Limah.

"Watak saya sebagai Mat Dosa sebenarnya lebih kurang dengan watak Husin. Kalau kita terjemahkan 'dosa' ke Bahasa Inggeris, ia membawa makna 'sin'. Jadi, dari situlah muncul nama watak Mat Dosa.

"Dalam filem ini, penonton akan dapat menyaksikan, apa yang menyebabkan Sin menukar namanya kepada Mat Dosa dan kesilapan apa yang dilakukan," katanya.

Menurut Awie, corak dan elemen-elemen dalam filem Sue-On ini mungkin akan mengubat kerinduan peminat filem-filem Mamat.

"Dari corak jalan ceritanya, mungkin lebih kurang karya yang pernah dihasilkan oleh Abang Mamat. Pengarah filem ini, Ajiboy pun adalah anak muridnya. Jadi, tak hairanlah jika filem Sue-On ini ada 'mood' karya-karya Abang Mamat.

"Insya-Allah, sedikit sebanyak, filem ini aman mengubat kerinduan penonton yang rindukan filem-filem Abang Mamat.

"Saya harap, Sue-On ini akan menjadi satu karya yang hasil yang baik dan dengan itu, kita dapat meneruskan dengan karya-karya seterusnya. Perbelanjaannya tak terlalu besar, tetapi, pengarah memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pelakon," katanya.

Bagi Ropie yang memegang watak sebagai Missnin, dia sempat memuji keupayaan Ajiboy dalam menggarap jalan cerita filem ini mengikut acuannya.

"Watak Missnin ini lebih kurang watak Nayan dalam filem Hantu Kak Limah. Cumanya, ada sedikit kelainan contohnya, Missnin bukan pegawai di Klinik Kesihatan Desa seperti Nayan.

"Apa yang boleh saya katakan, karya ini adalah 'tribute' untuk Abang Mamat. Cara Ajiboy mengarahkan filem ini juga mengingatkan saya kepada Abang Mamat.

"Prosesnya laju, tapi, dia tahu apa yang dia mahukan. Elemen-elemen seperti mana yang pernah Abang Mamat ketengahkan dalam filem-filemnya, turut disuntik dalam filem ini.

"Tapi, Ajiboy masih lagi mengekalkan identiti dan hala tuju pengarahannya yang tersendiri. Saya akan berikan beberapa cadangan untuk babak membabitkan saya dan dia akan pilih," katanya.

Ditanya mengenai cabaran dan kenangan paling tidak dapat dilupakan sepanjang penggambaran berlangsung, Ropie berkata, cuaca menjadi dugaan utama buat mereka.

WATAK Missnin ini lebih kurang watak Nayan dalam filem Hantu Kak Limah. FOTO Aziah Azmee
WATAK Missnin ini lebih kurang watak Nayan dalam filem Hantu Kak Limah. FOTO Aziah Azmee

"Kalau bercakap mengenai cabaran, tentunya ia membabitkan cuaca di mana, kawasan itu kerap dilanda hujan sekali gus menyebabkan jalan becak dan sebagainya. Saya pula takut pacat, jadi memang mencabar.

"Tunjang utama ceritanya adalah, hantu Korea bernama Sue-On. Banyak juga babak yang saya sendiri tak boleh nak lupakan antaranya, babak pergaduhan dengan hantu.

"Jadi, sesiapa yang rindukan suasana kampung, datanglah ke pawagam dan tonton filem ini. Ia memang santai dan boleh ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Bagi pelakon cantik manis, Reen Rahim, peluang untuk terbabit sama dalam filem ini umpama impian yang menjadi kenyataan kerana dapat bergandingan dengan idolanya, Awie.

"Pada awalnya, saya macam rasa pelik apabila ditawarkan untuk berlakon sebagai hantu Korea, sedangkan, muka saya, muka 'kari'. Saya tanya banyak kali, ini bukan Hindustan ke?

"Bekerja dengan Abang Awie umpama satu mimpi yang menjadi kenyataan. Mana tidaknya, sejak kecil, saya tengok dia di kaca TV dan sekarang, saya dapat bekerja dengannya.

"Bila dia ada, saya jadi sopan santun. Bukan takut, tapi saya hormat dia dan kagum dengannya," katanya.

Menurut Reen, aura positif pelakon-pelakon senior di dalam filem ini membantunya untuk turut sama menyerlah.

"Sejak saya melangkah masuk ke dalam industri lagi, kalau dengan artis-artis seperjuangan saya, saya rasa seperti biasa. Tapi, kalau bertemu dengan artis senior seperti Abang Awie dan ramai lagi, perasaan itu jadi berbeza dan saya terus jadi seperti 'kucing'.

"Alhamdulillah, aura positif Abang Awie dan Abang Ropie membantu menaikkan watak saya supaya tidak tenggelam," katanya.

Selain Awie, Ropie dan Reen, filem Sue-On juga turut dibintangi barisan pelakon lain antaranya Shawani, Azlee Senario, Nazia Mustafar, Joey Daud, Achey, serta penampilan khas aktres jelita Erra Fazira dan kumpulan rock legenda tanah air, Wings.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 7:00 AM