LANDO Zawawi
LANDO Zawawi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya tak rasa sedih atau malu atas kekalahan ini. Sebenarnya saya gembira kerana punca saya pergi ke Tanjung Karang pun kerana Allahyarham Iqram, kawan yang menetap di sana. 

   "Saya dapat berjumpa kawan-kawan dia, ibu bapa dia dan orang yang ajar dia syahadah akibat kemalangan jalanraya dialami," kata pelakon juga aktivis masyarakat, Lando  Zawawi.

   Terdahulu, Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi tewas dalam percubaannya bertanding bagi kerusi Parlimen Tanjung Karang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.

   Calon Gerakan Tanah Air (GTA) ini berkata, paling menggembirakan apabila dia berjaya menubuhkan Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) yang baharu di Sungai Sirih, Tanjung Karang. 

   "Yang paling penting, saya dapat mempromosikan Tanjung Karang bukan setakat pada media Malaysia, tapi juga diperingkat antarabangsa kerana saya ditemubual oleh AFP. 

   "Berita saya dan Tanjung Karang dah jadi berita antarabangsa. Sebabnya, Tanjung Karang memang memerlukan promosi, dan itu yang saya lihat.

   "Selama dua minggu berkempen, saya dapat selesaikan masalah berkaitan bekalan tenaga elektrik antara pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan wakil kampung-kampung disana.

  "Begitu juga, saya dapat berbincang dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk masalah kesesakan lalu lintas serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi selesaikan masalah parit tali air yang selalu banjir," katanya. 

   Apapun, kerusi Parlimen Tanjung Karang dimenangi oleh Kapten (B) Datuk Dr Zulkapferi Hanafi dari Perikatan Nasional (PN). 

   Walaupun sangat penat, Lando mengakui amat gembira apabila bertanding.

   "Kalau nak bertanding PRU lagi, mungkin saya akan buat parti baharu yang lebih kepada peranan NGO. Lebih selesa begitu. kerana saya cuma sertai PRU dan bukan berkepentingan politik.

   "Namun, nasihat kepada semua calon yang menang bukan saja di Tanjung Karang, ingat bahawa lantikan itu amanah dan tanggungjawab berbayar. 

   "Sebabnya mereka dapat gaji. Kenalah laksanakan amanah dengan sebaik-baiknya. Saya harap janganlah ada unsur-unsur rasuah, kleptokrasi dan ketirisan. Inilah masalah sebenar yang tidak pernah selesai," katanya.

   Lando turut berterima kasih kepada 3,557 pengundi yang mengundinya semalam.

   "Saya rasa gembira juga kerana cuba bayangkan, saya baharu dua minggu buat kempen dan tak pernah sertai mana-mana parti politik.

   "Jadi, untuk dua minggu tempoh gerak kerja itu, ia dapat memperkenalkan diri saya dalam kempen PRU15,  dengan kekuatan jentera 10 orang saya dan menggunakan bajet sendiri. 

   "Cara gerak kerja saya pun bukan macam ahli politik. Jadi, dapat undi sebanyak 3,557 itu pada saya okey kerana bergerak solo," katanya yang akan terus membantu Tanjung Karang terutama dari aspek keselamatan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 7:31 PM