Lando (tengah) calon parti PEJUANG kerusi Parlimen Tanjong Karang.
Lando (tengah) calon parti PEJUANG kerusi Parlimen Tanjong Karang.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon yang juga calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) kerusi Parlimen Tanjong Karang, Lando Zawawi, 47, mahu memperjuangkan tiga agenda utama termasuk hukuman berat terhadap kesalahan rasuah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Lando atau nama sebenarnya Azlan Sani Zawawi berkata, antara syarat lain adalah mahu mengajak semua calon yang bertanding menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membangunkan Tanjong Karang.

"Saya melihat sistem politik seperti tiada jalan, tetapi saya fikir mengapa tidak apabila diberi peluang oleh PEJUANG.

"Saya hanya menerima tawaran sebagai calon PEJUANG selepas tiga syarat diterima iaitu saya boleh bertanding sebagai calon, tetapi tidak akan mendaftar sebagai ahli parti politik.

"Kedua sekiranya parti membentuk kerajaan, sebarang kesalahan rasuah membabitkan jumlah melebihi RM100,000 perlu dijatuhi hukuman mati atau hukuman berat.

"Ketiga, saya ingin mengundang semua calon bertanding dengan saya untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk bersama membangunkan Tanjong Karang sekiranya berjaya memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang," katanya.

Menurut Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) dan Pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia itu, dia mengaku ada parti politik lain turut memberikan tawaran, namun tidak dapat memenuhi tiga syarat diberikan.

"Ada beberapa parti politik memberikan tawaran, tetapi semuanya diam apabila saya sebut syarat mengenai rasuah. Hanya PEJUANG bersetuju dengan tiga syarat diletakkan," katanya yang menyertai PEJUANG sejak September lalu.

Dalam masa sama, Lando berkata, pembabitan penggiat seni dalam PRU15 adalah satu perkembangan positif.

"Saya tidak nafikan, menjadi penggiat seni sebagai calon adalah satu taktik. Tetapi, jangan lupa, kami juga inginkan perubahan dan penambahbaikan yang hanya berkesan menerusi penggubalan akta, undang-undang dan sebagainya dalam Parlimen.

"Sekiranya tidak terbabit sampai bila-bila permasalahan penggiat seni tidak akan diperjuangkan sehingga ke peringkat Parlimen. Jadi, saya mahu ambil peluang agar boleh mengubah dasar dalam membela nasib penggiat seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 4:51 PM