Datuk Seri Eizlan Yusof
Datuk Seri Eizlan Yusof
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya tak ambil hati walaupun gagal di Sabak Bernam," itulah kata ringkas pelakon dan usahawan, Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, mengenai kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Eizlan yang mewakili parti Gerakan Tanah Air (GTA) tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Salan yang meraih 17,973 undi sekali gus turut menewaskan dua lagi calon lain dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

"Warga Sabak Bernam sudah pun membuat keputusan pada PRU15, semalam. Malah, saya juga sudah berusaha dengan kapasiti yang ada dan sangat menghormati keputusan dibuat mereka (pengundi).

"Saya ucapkan terima kasih kepada warga Sabak Bernam atas layanan yang cukup sempurna, selesa dan harmoni walaupun berbeza parti politik dan pendapat selama dua minggu saya bersama jentera GTA 'berkampung' di sana," katanya.

Sehubungan itu, Eizlan juga menitipkan pesan kepada wakil rakyat yang sudah dipilih warga Sabak Bernam agar jangan sia-siakan kepercayaan diperoleh itu kerana sekarang adalah peluang untuk mereka bekerja untuk rakyat.

Selain Eizlan, turut tewas pada PRU15 kali ini ialah Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta Rani Kulup yang bertanding di Parlimen Port Dickson, Negeri Sembilan, Datuk Jurey Latiff Rosli (Parlimen Lenggong, Perak) dan Lando Zawawi (Parlimen Tanjung Karang, Selangor). 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 5:48 PM