LANDO menurap jalan rosak di Jalan Parit 3, Pantai Sungai Burong, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
LANDO menurap jalan rosak di Jalan Parit 3, Pantai Sungai Burong, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Pemergian seorang ahli Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) yang meninggal dunia akibat kemalangan, menjadi faktor utama pengasasnya bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Calon Gerakan Tanah Air (GTA), Azlan Sani Zawawi atau Lando berkata, Parlimen itu dipilih bagi menghormati dan menghargai jasa ahli terbabit.

"Arwah yang tinggal di Tanjong Karang komited dalam isu kerosakan jalan yang boleh mengakibatkan kemalangan.

"Sehubungan itu, saya terpanggil untuk bertanding sekali gus memperingati jasa arwah kepada Brotherhood," katanya ketika ditemui selepas menurap jalan di Jalan Parit 3, Pantai Sungai Burong, di sini.

Menurutnya, sokongan pengundi dilihat amat positif dan menyokong perjuangannya sepanjang kempen berkempen.

Dalam pada itu, Lando berkata, pihaknya mengenal pasti lebih 10 kawasan yang menghadapi masalah infrastruktur itu, termasuk di sekitar kampung.

Justeru, katanya, lebih satu tan tar disediakan sepenuhnya oleh Brotherhood Malaysia dari seluruh negara untuk menurap jalan rosak dan berlubang, termasuk di Tanjong Karang.

"Setakat ini, kita sudah melakukan turapan jalan di tiga kawasan sepanjang tujuh hari tempoh awal berkempen.

"Saya menjangkakan lebih banyak turapan akan dilakukan selaras dengan manifesto utama untuk menaik taraf jalan sedia ada," katanya.

Kerusi Parlimen Tanjong Karang bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan turut ditandingi Ketua Wanita Umno Tanjong Karang, Datuk Habibah Mohd Yusof (BN), Kapten (B) Datuk Dr Zulkapferi Hanafi (PN); Siti Rahayu Baharin (PH) dan calon Bebas, Mohd Rosni Mastol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 7:53 PM