GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO arkib Bernama
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Dua kerusi Parlimen di utara Selangor kini dikuasai Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dua kerusi itu ialah Parlimen Sabak Bernam dan Sungai Besar.

Sabak Bernam menyaksikan calon PN, Kalam Salan meraih 17,973 undi sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Abd Rahman Bakri dan dua lagi calon.

Abd Rahman memperoleh 12,917 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) Shamsul Ma'arif Ismail (9,627) dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Eizlan Yusof (460).

Di Sungai Besar pula, penyandang kerusi itu, Datuk Muslimin Yahaya menang bergaya apabila meraih 19,791 undi menewaskan calon PH, Saipolyazan M Yusop dan dua lagi calon.

Saipolyazan memperoleh 17,070 undi, sementara calon BN, Datuk Seri Jamal Md Yunos (13,984) dan calon Pejuang, Datuk Asmawar Samat (225).

Terdahulu, Parlimen Tanjong Karang yang menjadi kubu terakhir BN di negeri ini jatuh ke tangan PN apabila calonnya, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menang dengan majoriti 2,180 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Habibah Mohd Yusof dan tiga calon lain.

Habibah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang meraih undi 15,874, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Siti Rahayu Bahari mendapat 12,314 undi.

Dua lagi calon iaitu Azlan Sani Zawawi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 3,557 sementara calon Bebas, Mohd Rosni Mastol meraih 1,406 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 1:28 AM