AMEN di depan replika Warong Pak Jabit. FOTO Rosman Shamsudin
AMEN di depan replika Warong Pak Jabit. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Warong Pak Jabit yang terkenal menerusi filem Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah dan Kampung Pisang Bersiri-siri arahan Allahyarham Mamat Khalid kini terdapat di perkarangan Sarang Art Hub yang juga kafe milik Allahyarham di Tanjung Malim, Perak.

Majlis perasmian pembukaan replika Warong Pak Jabit disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Normalis Musa disaksikan anak keempat Mamat yang juga pengarah, Mohd Khalid Amen.

Amen berkata, Warong Pak Jabit tidak asing dan menjadi salah satu lokasi sepanjang Allahyarham bapanya mengarah filem atau drama menyebabkan ia sentiasa diingati seluruh peminat tanah air.

Katanya, Persatuan Anak Seni Sarang mengambil inisiatif membina semula warong itu bagi mengimbau kembali hasil kerja tangan dan karya Allahyarham bapanya untuk tatapan peminat dan pengunjung Sarang Art Hub.

"Walaupun warung ini tidak sepenuhnya dibina seperti dalam filem atau drama, tetapi saya yakin ia mampu mengimbau nostalgia karya Papa," katanya.

Amen berkata, inisiatif itu hasil kerjasama Persatuan Anak Seni Sarang, Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya Malaysia Perak, kerajaan Perak dan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).

Hadir sama di majlis perasmian itu ialah Setiausaha MDTM, Roslan Kamaruzaman; Naib Presiden Persatuan Anak Seni Sarang, Prof Madya Dr Mohd Zahuri Khairani dan isteri Allahyarham Mamat, Hasmah Hassan.

Turut hadir, pelakon yang kerap membintangi karya Mamat seperti Kazar Saisi yang melakonkan watak Pak Din, Dewa Sapri (Cik Purnama), Nizam Mok Ram (MA Mok), Mohd Hafiz (Mirlun) dan pelakon lain.

Lebih menarik, tetamu turut dijamu dengan menu 'mi kari kuah laksa' bagi mengimbau kembali salah satu babak dalam drama Kampung Pisang Bersiri-siri membabitkan watak Yah Kucai lakonan Afea Deanna Baharudean.

WARONG Pak Jabit tarikan terbaharu pengunjung ke Sarang Art Hub. FOTO Rosman Shamsudin
WARONG Pak Jabit tarikan terbaharu pengunjung ke Sarang Art Hub. FOTO Rosman Shamsudin

Amen berkata, pembinaan warung itu juga memberi peluang kepada peminat dan pengunjung merakamkan gambar atau berswafoto serta beristirahat di warung berkenaan.

Menurutnya, tujuan asal penubuhan Sarang Art Hub sejak enam tahun yang lalu yang diilhamkan dan dicetus Allahyarham bapanya mesti diteruskan supaya segala pengorbanan dan usaha Mamat tidak dipersiakan begitu saja.

"Memang pada awal pemergian arwah agak sukar untuk saya berdiri dan meyakinkan diri terutama selepas penggambaran filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali kerana emosi sering terganggu terutama apabila duduk atas kerusi pengarah.

"Syukur dengan berkat sokongan ibu dan ahli keluarga serta rakan arwah, kini saya cukup bersedia meneruskan kesinambungan atau legasi yang ditinggalkan Papa," katanya.

Selain perasmian pembukaan warung terbabit, turut dianjurkan majlis bacaan Yasin dan tahlil diikuti perasmian pembukaan Bangsal Lang Buana.

Bangsal Lang Buana yang dibina bersebelahan Sarang Art Hub bakal menjadi tempat pelatih belajar silat yang akan dipimpin oleh Jentayu.

Menyentuh karya seterusnya, Amen berkata, dia dalam pembikinan menghasilkan skrip filem terbaharu iaitu Kampung Pisang Universe.

Katanya, filem terbaharu itu juga akan menjalani penggambaran di Perak dan turut mengekalkan barisan pelakon sebelum ini yang menaikkan karya arwah bapanya.

"Sebahagian skrip sudah siap dan ada juga yang perlu disunting lagi supaya karya berkenaan mampu memikat hati peminat filem komedi di samping turut menyelitkan unsur kritikan masyarakat.

"Dengan sokongan pelbagai pihak, saya yakin skrip filem berkenaan akan berjaya disiapkan pada masa terdekat dan berharap peminat beri peluang dan sokongan pada filem berkenaan," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Zahuri berkata, replika Warong Pak Jabit bakal menjadi tarikan terbaharu pengunjung di Sarang Art Hub.

"Ini salah satu inisiatif yang dilakukan persatuan dalam usaha melestarikan elemen filem untuk tatapan peminat filem yang diarahkan oleh sutradara tersohor berkenaan.

"Pelbagai aktiviti yang dirancang oleh persatuan dalam usaha mencungkil bakat seni terutama dalam kalangan anak muda sama ada dalam seni visual atau persembahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 6:02 AM