Amen Khalid, anak Allahyarham Mamat Khalid
Amen Khalid, anak Allahyarham Mamat Khalid
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Sampai sekarang saya masih ingat pesanan papa. Dia cakap jangan main-main buat kerja, kena serius dan pegang tanggungjawab baik-baik," kata Amen Khalid, anak Allahyarham Mamat Khalid yang kini menyambung legasi bapanya sebagai pengarah.

Amen yang menggalas tanggungjawab menyambung kerja-kerja pengarahan karya terakhir Mamat berjudul Kampong Pisang Berbuah Dua Kali mengakui emosinya terganggu sepanjang dia duduk di kerusi pengarah filem terbabit.

Amen berkata, sepanjang proses pembikinan filem berkenaan, air matanya juga sentiasa berlinang kerana teringatkan Allahyarham bapanya.

"Bila terdengar suara dia saya akan teringat. Sebelum ini, setiap kali buat suntingan dia ada di belakang saya. Sampai sekarang saya boleh dengar seperti dia ada.

"Kadang-kadang tengah duduk dekat monitor semasa penggambaran saya seperti terdengar suara dia dan saya memang akan menangis," katanya.

Amen berkata, dia bersyukur kerana mendapat sokongan padu daripada ahli keluarga dan rakan artis ketika menyiapkan projek terakhir bapanya itu.

"Alhamdulillah saya dapat sokongan kuat daripada mama yang sanggup ikut ke lokasi penggambaran. Dialah kekuatan saya menyiapkan karya ini. Ketika di lokasi, saya cuba cari semangat yang hilang dan tengok keadaan di sekeliling.

"Bagi saya Mamat Khalid hanya ada satu saja di dunia. Sentuhan saya tidak akan sama seperti dia, namun apabila diberi tanggungjawab saya perlu siapkan walaupun ia agak berat untuk saya," katanya.

Sementara itu, pelakon dan pengarah, Aziz M Osman berkata, sentuhan Amen dilihat persis Allahyarham bapanya dan tidak wujud sebarang kejanggalan ketika proses penggambaran dilakukan.

"Ketika hayatnya, arwah pernah beritahu saya yang Amen akan menjadi pewarisnya tanpa saya mengesan apa mesej di sebaliknya.

"Saya tidak terkejut apabila Amen mengambil alih dan meneruskan kerja arwah kerana selama ini Amen sering berada di belakang arwah sebagai pembantu.

"Jadi ketika penggambaran filem ini dijalankan, yang tiada hanyalah arwah Mamat manakala perkara lain masih sama termasuk barisan pelakon dan kru produski.

"Bagi saya, Amen berjaya menjalankan kerjanya dan tiada kejanggalan berlaku di lokasi penggambaran kerana sentuhan Amen sama dengan arwah bapanya," katanya.

Kampong Pisang Berbuah Dua Kali masih mengekalkan pelakon sama iaitu Kazar Saisi (Pak Din), Bell Ngasri (Barkoba), Aziz M Osman (Pak Jabit), Mat London (Pak Karim), Dewa Sapri (Cik Purnama), Ahmad Yassin (Yassin), Rasydan Zakaria (Adan), Nizam Mok Ram (MA Mok), Joey Daud (Daud M), Yeop Hitler (Manap Sengau), Rashid Othman (Faguha Jabar) dan Anis Nisham (Yati).

Ia turut menampilkan watak baru iaitu Cik Mek lakonan Datin Eina Azman dan Azman Naim yang popular dengan video parodi di media sosial membawa watak Gerhana iaitu adik kepada Cik Purnama.

Filem ini ditayangkan di Astro First saluran 480 bermula hari ini.

Mamat menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak iaitu Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa, Sara dan Nurhassanah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 4:37 PM