Anak Allahyarham Mamat Khalid, Amen Khalid.
Anak Allahyarham Mamat Khalid, Amen Khalid.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Mestilah saya nak ikut jejak papa. Saya nak filem itu cemerlang dan pecah panggung. Kalau tiada untung, memang kasihan dengan penerbit.

"Sama ada pecah panggung atau apa saja, semua ini rezeki. Setiap filem ada kelebihannya sendiri," kata Amen, 26, anak keempat Allahyarham Mamat Khalid yang kini menyambung legasi bapanya sebagai pengarah.

Amen atau nama sebenarnya Mohd Khalid Amen Mohamad berkata, apabila bapanya menghasilkan filem

Hantu Kak Limah Balik Rumah, mereka pun tidak menyangka ia akan pecah panggung.

"Ia adalah benda-benda yang tak dijangka. Kami hanya buat. Saya selalu pegang, papa cakap buat saja. Selagi boleh buat, buatlah.

"Macam pecah panggung semua perkara nombor dua dan rezeki. Saya memang akan ikut jejak papa dalam industri," katanya.

Amen mengulas mengenai artikel Tiga Pengarah Termahal yang dilaoorkan Metro Ahad membabitkan pengarah dan penerbit berkaliber, Datuk Yusof Haslam dan dua anaknya, Syamsul dan Syafiq yang sering mencipta kutipan pecah panggung menerusi filem arahan mereka.

"Syamsul dan Syafiq ada kelebihan tersendiri yang saya hormati. Saya sendiri pun ada benda yang saya masih belajar dan ada yang masih dicari lagi untuk dapatkan apa yang saya nak.

"Sekarang saya sedang banyak belajar. Saya banyak tengok filem. Lepas papa meninggal dunia, dekat setahun lebih emosi saya tak stabil

"Saya mencari mood dan semangat itu semula untuk saya teruskan. Sekarang saya banyak belajar dan banyak membaca. Dulu tak banyak membaca sekarang dah banyak membaca," katanya.

Amen mengakui agak sukar untuk memahami selera penonton kerana setiap orang berbeza.

"Saya akan buat semampu boleh. Sebenarnya saya suka dan layan semua genre, tapi paling saya minat ialah 'dark comedy'," katanya yang baru menyiapkan super-telefilem berjudul Sahul Bhai.

Amen berharap penonton dan penggiat industri filem boleh terima karya pertamanya itu.

Terdahulu, Amen menyambung mengarahkan filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali pada Mac tahun lalu untuk tayangan di Astro First selepas bapanya meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 3:51 PM