AZNIL menerima permohonan maaf Ustaz Abdullah Khairi (gambar kecil) yang didakwa bergurau tidak kena tempat mengenai kematian abangnya, Azharnim. FOTO NSTP
AZNIL menerima permohonan maaf Ustaz Abdullah Khairi (gambar kecil) yang didakwa bergurau tidak kena tempat mengenai kematian abangnya, Azharnim. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENGACARA, Datuk Aznil Nawawi memuat naik keratan tangkap layar (screenshot) di Instagramnya yang menunjukkan perbualan antaranya dengan pendakwah, Ustaz Abdullah Khairi.

Tangkap layar itu dikongsikan Aznil selepas pendakwah itu memohon maaf kerana tidak sensitif dan meninggalkan komen gurauan di gambar yang dimuat naik Aznil semalam mengenai pemergian abang kandungnya, Allahyarham Azharnim Nawawi yang meninggal dunia pada Selasa lalu.

"Kebiasaan di luar dibawa ke Instagram. Cepat bersalah, cepat minta maaf dan cepat memaafkan. Alhamdulillah. Kosong-kosong @ustaz_abdullahkhairi," tulisnya di Instagram.

Ustaz Khairi sebelum itu menulis komen gurauan mengenai wajah Aznil yang diumpamakan seperti suci dalam debu sebelum menulis satu lagi komen permohonan maaf.

"Salam. Maaf Pak Nil. Saya tengok muka Pak Nil, terus komen. Tak tengok komen di bawah. Salam takziah Pak Nil. Maaf dipinta," tulisnya.

Aznil bagaimanapun membalas komen permohonan maaf itu dengan tenang dan sopan.

"Sama-sama ustaz. Saya memang tengah sangat berduka. Saya tersentuh ustaz menghubungi saya walaupun cara terbuka begini. Semoga satu hari nanti, kita bertemu. Terima kasih rakan syurgaku," tulisnya.

Aznil sebelum itu sempat memuat naik tangkap layar komen Ustaz Khairi, namun dipadam selepas menerima permohonan maaf oleh pendakwah itu.

Muat naik itu menerima hampir 40,000 tanda suka atau 'like' di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:57 PM