MD Nasir Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
MD Nasir Ibrahim. FOTO Arkib NSTP
Farihad Shalla Mahmud

Kuala Lumpur: Strategi penganjur Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 tidak mengumumkan lima calon terbaik bagi setiap kategori dipertandingkan, mencetuskan tanda tanya penggiat seni terutama tenaga kreatif di belakang 55 filem cereka yang mengemukakan pencalonan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sejak dua tahun lalu.

Memberi pelbagai reaksi termasuk berbaur negatif, pembikin filem membangkitkan rasional di sebalik tindakan penganjur FFM31 tidak menghebahkan calon Top 5 dan membiarkan mereka termasuk peminat membuat spekulasi sendiri menjelang malam kemuncak, esok.

Segelintir pihak menganggap ada baiknya calon Top 5 diumumkan sebelum acara gilang-gemilang itu bagi membolehkan peminat tahu latar belakang filem bertanding dan tenaga kreatif yang diiktiraf sebagai finalis.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, keputusan tidak mengumumkan calon Top 5 dibuat kerana penganjur mahu memberi elemen kejutan kepada FFM31.

"Tahun ini, FFM31 tidak mengumumkan calon dalam setiap kategori dipertandingkan. Ini hanya diketahui pada malam anugerah itu nanti.

"Ini memang strategi Finas untuk menyelitkan elemen kejutan bagi penganjuran FFM kali ini. Bagaimanapun, mereka yang tersenarai sebagai finalis sudah tahu mengenai pencalonan mereka.

"Malah, kehadiran mereka pada sidang media FFM31 tempoh hari bagai memberi bayangan mereka tercalon. Pihak yang merungut itu mungkin sebab mereka tidak dicalonkan," katanya.

Pada FFM31, penganjur menerima 55 penyertaan filem cereka merangkumi filem Bahasa Malaysia sebanyak 32 judul; filem Tamil (11 filem), Mandarin (lapan filem) serta masing-masing dua filem Bahasa Inggeris dan bahasa Iban.

Semua filem ini bersaing merebut 28 kategori termasuk trofi utama, Filem Terbaik.

Md Nasir berkata, undangan sudah diberi kepada finalis agar mereka dapat hadir memeriahkan FFM31 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

"Untuk mengelak berlakunya insiden calon tidak datang pada malam kemuncak, jemputan sudah diberi kepada mereka sejak awal lagi.

"Sudahlah jemputan tidak ramai iaitu 1,400 orang, kita tak mahulah dewan tampak kosong kalau mereka tidak datang. Kita mahu jemputan yang hadir pada malam itu rasa mereka ada peluang menang," katanya.

Mengenai persiapan menjelang malam kemuncak FFM31, Md Nasir berpuas hati dengan kerjasama diberi semua pihak.

"Setakat ini, persiapan lancar dan kita sudah mula memeriksa serta membuat susun atur di lokasi acara berlangsung.

"Perkara yang paling menjadi keutamaan adalah persiapan lengkap dalam aspek prosedur operasi standard (SOP). Jujurnya, saya bimbang kerana tidak mahu wujud kluster FFM," katanya.

Baru-baru ini, ketika menjayakan program terbitan Finas iaitu Spotlight, pelakon 'senior', Fauziah Nawi atau lebih akrab disapa ibu menyarankan perbadanan itu memilih tarikh khusus untuk menganjurkan FFM.

Fauziah dilaporkan berkata, langkah itu dapat memastikan seluruh penggiat seni memberi komitmen dan bersama-sama memeriahkan acara itu.

Menyifatkan cadangan itu bernas, Md Nasir bagaimanapun berkata, perkara itu perlu dikaji kerana membabitkan jadual menteri yang menjadi tonggak utama penganjuran acara berkenaan.

"Cadangan itu baik. Tetapi setiap tahun, kita akan jemput menteri sebagai tetamu khas. Disebabkan jadual harian yang cukup ketat, ini agak menyukarkan kita untuk melaksanakan idea itu.

"Namun, kita ambil kira saranan itu dan akan berbincang mengenainya. Lagipun, apabila saya terajui perbadanan ini, saya memikirkan membuat perancangan lebih awal bagi FFM akan datang, iaitu mulai bulan depan," katanya.

Md Nasir berkata, Finas bukan sengaja menganjurkan FFM31 pada saat akhir.

"Keputusan dibuat selepas kerajaan memberi kelonggaran SOP dan kita ambil peluang untuk segera menganjurkan acara ini.

"Takkanlah hendak tunggu tahun depan pula. Walaupun dianjurkan pada saat akhir, saya puji dengan persiapan yang dilakukan terutama dari segi penjurian.

"Bukan mudah hendak menilai 55 filem dalam masa singkat," katanya.

Mengangkat tema Citra Sinema, FFM31 akan disiarkan secara langsung TV2 dari Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam esok.

Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) menjadi rakan strategik Finas mempromosikan FFM31.

Antara filem bersaing adalah Pusaka, Ennaval, Geran, KL Vampires, Sangkar, Anak Perjanjian Syaitan, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, Miimaland, Rock 4 : Rockers Never Dai, Ejen Ali The Movie, Ada Apa Dengan Dosa, Roh dan lain-lain.

Buat julung kalinya pemenang Filem Terbaik FFM31 akan menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 selain trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 4:18 PM