BARISAN karyawan yang hadir pada sidang media pengumuman malam kemuncak FFM26 di Hotel Empire Subang Jaya.
BARISAN karyawan yang hadir pada sidang media pengumuman malam kemuncak FFM26 di Hotel Empire Subang Jaya.
Oleh Georgie Joseph


Selepas beberapa kali ditangguhkan, acara anugerah berprestij Festival Filem ke-26 (FFM26) akhirnya ditetapkan akan berlangsung pada 1 November di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Se­remban, Negeri Sembilan. Kali terakhir festival itu diadakan pada 2 Mac 2013.

Ketika sidang media pengumuman calon akhir bagi setiap kategori pada 15 Ogos lalu, tidak ketinggalan ia turut disusuli pertikaian selepas senarai calon dikeluarkan. Kali ini, sebanyak 113 filem dipertandingkan dalam 31 kategori pada acara kemuncak nanti.

Jika diteliti semula pola filem yang dicalonkan, kebanyakannya genre seram, aksi dan psiko sekali gus mengenepikan beberapa filem bercorak lain. Dari situ, terlihat segi penjurian nampaknya lebih tertarik kepada genre sedemikian daripada banyak filem yang dihantar untuk penilaian.

Tidak ketinggalan, sebaik pengumuman berkenaan, industri turut dikejutkan dengan kematian satu-satunya calon bukan Melayu iaitu mendiang Kalpana Sundraju yang dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Dhsurajanam arahan M Surya. Kalpana dicalonkan bersama Sharifah Amani, Diana Danielle, Ummi Nazeera dan Lisa Surihani.

Bagaimanapun, kerancakan acara itu semestinya semakin dirasakan sekarang apalagi sekian lama dinanti akhirnya barulah ia diadakan kembali. Bakal disiarkan pada jam 9 malam secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104) serentak di Maya HD (Astro 135) serta TV2 sebagai pe­nyiar rasmi, acara berkenaan turut menampilkan persembahan hebat kelak.

Mengadakan sidang media pengumuman berkenaan kelmarin bertempat di Bilik Throne, Hotel Empire Subang, Subang Jaya, majlis berkenaan turut dihadiri Pemangku Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dr. Megat Al-Imran Yasin, Pengarah FFM26 Mohd Zulkifli Ab Wahab, Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datuk Yusof Haslam dan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad.

Bercakap mengenai acara itu, beberapa peranca­ngan sudah dibuat bagi menghebahkan kemuncak FFM26. Menurut Megat, kali ini artis yang dicalonkan juga bakal diminta untuk sama terbabit dalam mempromosikan acara itu.

"Seperti penganjuran sebelumnya, kali ini Seremban dipilih sebagai lokasi acara yang mana tidak lain tidak bukan mahu memberi peluang kepada penduduk di sana merasai kehangatan FFM26 sendiri nanti. Kami juga akan mengadakan siri jelajah beberapa lokasi di sana bersama artis-artis.

"Tidak ketinggalan, beberapa acara sampingan seperti seminar juga bakal diadakan yang turut mendapat kerjasama memberangsangkan daripada pihak kerajaan," katanya.

Turut mengulas me­ngenai dakwaan sebuah artikel berhubung FFM26 semakin mengarut dari segi pencalonan, menurut Zulkifli, hal itu di luar bidang kuasa mereka lantaran ia keputusan panel juri profesional.

"FINAS memang tidak terbabit dalam sebarang keputusan penjurian. Keputusan itu dipertanggung­jawabkan sepenuhnya kepada panel juri dan semestinya mereka bebas untuk menentukan serta ada hak membuat keputusan demikian.

"Biasalah dalam hal sebegitu, pasti ada yang akan berpuas hati dan sebalik­nya namun perlu akur kerana ia keputusan juri profesional," katanya.

Berkonsepkan 'black tie', acara berkenaan bakal diserikan artis-artis besar termasuk Datuk M Nasir, Mamat Khalid, Adira, Tomok, Hafiz Suip, Misha Omar dan Awie. Persembahan merangkumi nyanyian lagu runut bunyi dari era 1960-an sehingga kini.

Sebelum acara kemuncak, majlis Malam Perasmian FFM26 juga bakal diadakan pada 29 Oktober nanti bertempat di Hotel Empire Subang Jaya di mana pada malam itu pemenang bagi 11 kategori akan diumumkan. Kategori itu termasuklah Poster Terbaik, Pereka Kostum/Busana Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Pengarah Harapan, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Penggiat Belakang Tabir.

Yusof Haslam hormati pilihan juri

Pernah menjadi juri untuk festival sama sebelum ini, Yusof pula mengakui mempunyai pendapat sendiri mengenai pencalonan namun faham penilaian juri semestinya subjektif. Bagaimanapun, beliau sendiri tidak menafikan pelik apabila filem seperti Tanda Putera tidak tersenarai dalam kategori Filem Terbaik.

"Tak salah yang dipilih. Cuma saya agak ralat sedikit kerana filem sebaik Tanda Putera yang ada nilai-nilai sejarah, pejuang dan kepimpinan saebalik­nya tidak mendapat perhatian juri. Kalau saya jadi juri barangkali filem itu yang saya dahulukan.

"Namun itu sekadar pandangan peribadi saja. Kita perlu akur kerana saya percaya juri yang dipilih FINAS terdiri daripada golongan profesional dan mempunyai kriteria penilaian tersendiri," katanya.

Pastinya menjadi perhatian utama, lima filem yang bertanding bagi kategori Filem Terbaik adalah KL Gangster 2, KIL, Penanggal, Rock Oo dan Sembunyi: Amukan Azazil. Penanggal arahan Ellie Suriaty Omar turut mendominasi de­ngan 15 pencalonan. Pada FFM25, filem Bunohan arahan Dain Iskandar Said diangkat sebagai Filem Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 11:58 PM