Datin Seri Umie Aida, Datuk Aaron Aziz dan Datuk Fizz Fairuz. FOTO Arkib NSTP
Datin Seri Umie Aida, Datuk Aaron Aziz dan Datuk Fizz Fairuz. FOTO Arkib NSTP
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon popular Datin Seri Umie Aida berpendapat Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang dirancang pada Oktober depan tidak wajar diteruskan.

Umie yang juga pemenang dua kali kategori Pelakon Wanita Terbaik di FFM berkata, dana yang diperuntukkan untuk penganjuran FFM31 sebaiknya disalurkan kepada anak seni dan kru yang memerlukan.

"Tak wajar dan tidak masuk akal FFM31 dibuat ketika pandemik Covid-19 ini. Ini kerana ramai penggiat industri filem dalam kalangan pelakon, kru atau siapa saja yang susah.

"Jadi, apabila tiba-tiba nak buat FFM rasanya wajar kos yang ada itu diagihkan kepada golongan belakang tabir atau pelakon yang perlukan bantuan. Wang yang ada itu kalau diagihkan berapa banyak yang boleh dibantu dan mendapat manfaat daripadanya.

"Kalau nak buat juga, bagi saya ia tetap tak wajar. Sepatutnya tengok dulu orang sekeliling kita dan dalam konteks industri ini adalah anak seni," katanya kepada Harian Metro

Sementara itu, pelakon Datuk Aaron Aziz senada dengan Umie yang mana FFM31 tidak sesuai dijalankan dalam situasi sekarang.

"Ramai yang berada dalam tekanan ketika ini. Tidak elok dan tidak wajar untuk buat sebarang acara meriah untuk meraikan kerjaya karya seni atau apa-apa bidang. Selagi ada kematian, kemurungan, kebuluran, kesakitan, kehilangan dan kerinduan yang sedang berlaku dan berpusing dalam kalangan semua rakyat di seluruh negara, sebaiknya difikirkan perkara yang lebih bermanfaat.

"Malah, lebih baik FFM menggunakan dana itu untuk salurkan bantuan kewangan kepada anak-anak seni depan dan belakang tabir," katanya.

Berbeza dengan pelakon Datuk Fizz Fairuz yang menyokong jika FFM31 dianjurkan secara maya sekali gus masih mengiktiraf anak seni.

"Bagi saya apabila Finas nak buat FFM31, ia ada baik dan buruk. Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) kena ambil perkara ini secara terbuka dan berpandangan luas. Namun, jika FFM31 dibuat secara maya dengan kos rendah dan masih ada pengiktirafan, nampak juga acara ini berjalan walaupun tidak besar seperti dulu.

"Pada awalnya saya tidak menyokong jika FFM ini dibuat secara besar-besaran. Tapi apabila perancangannya ingin dibuat secara maya, bagi saya okay. Sekurang-kurangnya memperlihatkan yang kita masih mampu dan megah dengan cara ada penganjuran acara," katanya.

Fizz berkata, walaupun diadakan secara maya, ia tetap memberi pengiktirafan dan ia patut diberikan kepada anak seni.

"Walaupun dalam situasi sekarang, kita perlu berganding bahu. Jangan tunjukkan kita terlalu lemah dan susah. Kita sebenarnya masih mampu jalankan program walaupun secara kecil-kecilan. Jangan tidak ada langsung acara pengiktirafan untuk anak seni," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Finas tetap akan meneruskan penganjuran FFM31 biarpun wujud kempen boikot acara yang digerakkan individu tertentu sejak minggu lalu.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, FFM31 akan dibuat secara hibrid atau virtual sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 4:22 PM