ZAKARIA ketika sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) ke-31 di Damansara. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ZAKARIA ketika sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) ke-31 di Damansara. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ridzuan Abdul Rahman

Petaling Jaya: Filem yang bakal diangkat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) pada 10 Disember ini akan menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 selain trofi.

Berita gembira ini diumumkan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid dalam sidang media FFM31 di sebuah hotel di Mutiara Damansara, di sini, semalam. Zakaria berkata, agihan dana itu dibuat dengan mematuhi garis panduan ditetapkan dalam tatacara permohonan DKD sektor industri kreatif.

"Finas sebagai penganjur FFM dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bangga dan besar hati dapat bekerjasama menganjurkan FFM31.

"Untuk FFM31, hadiah DKD bernilai RM500,000 adalah antara pembaharuan yang kami lakukan. Ini tanda penghargaan kepada pasukan pembikin filem yang bersungguh-sungguh membuat pembaharuan sehingga mereka berjaya dinobatkan sebagai Filem Terbaik," katanya.

Menurutnya, hadiah terbabit diperkenalkan bagi menggalakkan pembikin filem menghasilkan karya bermutu.

"Kita sedia maklum ada syarikat penerbitan yang memohon DKD sudah mengemukakan bajet tinggi untuk memastikan filem mereka berkualiti.

"Namun, apabila Finas hanya menyediakan sebahagian daripada dana, mereka sudah mengurangkan bajet filem. Disebabkan itu, secara tidak langsung apabila bajet dikurangkan, kualiti filem terbantut," katanya. Zakaria berharap dengan adanya ganjaran ini mendorong penerbit filem tempatan bersungguh-sungguh menyiapkan filem mengikut standard dikemukakan pada awalnya.

"Finas berharap dana itu akan memberi semangat kepada pembikin filem untuk berkarya dengan mutu selaras matlamat projek Road To Oscars.

"Selain trofi, pemenang akan menerima hadiah wang tunai yang disumbangkan penaja sebagai tanda sokongan terhadap FFM31," katanya.

Turut hadir pada sidang media ini ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Sementara itu, Annuar berkata, keputusan memberikan hadiah berbentuk DKD ini dibuat menerusi perbincangan beliau bersama Finas.

"Saya tanya Finas bentuk hadiah yang diberikan dalam FFM terdahulu dan mereka kata hanya trofi tanpa wang ringgit. Oleh kerana itu saya minta mereka fikirkan sebagai penghargaan terhadap pembikin filem dan akhirnya DKD dipilih sebagai bentuk hadiah utama," katanya.

Malam kemuncak FFM31 akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pada 10 Disember ini jam 9 malam.

Penganjur menerima 55 penyertaan filem cereka merangkumi filem Bahasa Malaysia sebanyak 32 judul; filem Tamil (11 filem), Mandarin (lapan filem) serta masing-masing dua filem Bahasa Inggeris dan bahasa Iban.

Semua filem ini bersaing merebut 28 kategori termasuk trofi utama, Filem Terbaik.

Antara filem yang bersaing adalah Pusaka, Ennaval, Geran, KL Vampires, Sangkar, Anak Perjanjian Syaitan, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, Mimaland, Rock 4 : Rockers Never Dai, Ejen Ali The Movie, Ada Apa Dengan Dosa, Roh dan lain-lain.

Menurut Zakaria, fokus FFM31 bukan sekadar meraikan sektor kreatif, sebaliknya menjadi platform satu suara antara kerajaan, karyawan filem dan rakyat dalam mendukung kecemerlangan industri.

"Sebagai medan pengiktirafan kepada pencapaian karyawan industri, FFM31 membuktikan manifestasi sinema Malaysia yang berinspirasikan keunikan dan variasi cerita.

"Ini termasuk identiti serta nilai tempatan dengan impak pembikinan dan tontonan sejagat merentas sempadan," katanya.

FFM31 dikendalikan mengikut norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan kerajaan.

"Senarai pemenang hanya diumumkan pada malam anugerah bagi memberikan kelainan dan debaran menanti keputusan bagi semua kategori," katanya.

Program sampingan lain turut dianjurkan seperti sesi tayangan dan apresiasi filem di beberapa lokasi pawagam termasuk di Sabah dan Sarawak.

Finas juga turut menjayakan program webinar dengan pelbagai pengisian dan panel hebat dari dari dalam dan luar negara.

Zakaria turut berterima kasih kepada Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang menjadi rakan strategik Finas mempromosikan FFM31.

FFM31 yang bertemakan Citra Sinema, akan disiarkan secara langsung menerusi TV2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:32 PM