HANS Isaac (dua dari kiri) pada sidang media penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS. FOTO Mustaffa Kamal
HANS Isaac (dua dari kiri) pada sidang media penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS. FOTO Mustaffa Kamal
Ridzuan Abdul Rahman

PENGANJURAN Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) pada 18 April ini menyaksikan 67 filem bakal berentap menerusi 32 kategori yang dipertandingkan.

Mengangkat tema Inspirasi Sinemaku: Tanpa Sempadan, persaingan akan membabitkan 35 filem berbahasa Malaysia, Mandarin & Kantonis (15), Tamil (12), animasi (4), dan satu filem untuk lain-lain bahasa.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac, berkata, majlis perasmian FFM31 akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 9 April depan, jam 9 malam.

"Ia turut akan disiarkan secara langsung di RTM. Selain itu, Encore Melaka dipilih untuk malam kemuncak FFM31 yang akan berlangsung pada 18 April depan jam 9 malam dan disiarkan secara langsung di Astro.

"Ini adalah pertama kali penganjuran FFM diadakan di Melaka. Sebelum ini FFM pernah berlangsung di negeri-negeri lain," katanya.

Menurut Hans, Finas mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Melaka bagi menjayakan acara berprestij itu.

"Hajat kali ini besar dimana kami ingin melakukan sesuatu yang berbeza. Seperti yang dketahui, banyak filem berjaya pecah panggung tahun lalu.

"Ramai penggiat industri kreatif berjaya ke peringkat antarabangsa, filem Malaysia turut membolosi pencalonan di Academy Awards tahun ini," katanya pada sidang media FFM31 di Finas, Hulu Klang, hari ini.

Hans berkata, Finas menyasarkan lebih banyak filem tempatan dapat menembusi pasaran antarabangsa tahun ini.

"Nak cakap dan kritik senang, tapi bukan mudah mahu memasarkan filem tempatan ke luar negara. Kami memerlukan sokongan semua bahagian penggiat industri kreatif. Kami mahu bersikap adil dan memberi peluang kepada penggiat seni," katanya.

Sebanyak empat kategori iaitu Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Cereka Animasi Terbaik dan Filem Digital terbaik diperkenalkan semula di FFM31.

Manakala, kategori Tatarias Terbaik pula pertama kali diwujudkan dalam FFM31.

Antara filem hebat yang bakal dipertandingkan pada FFM31 kali ini adalah Misteri Dilaila, Bikers Kental 2, Warkah, Sangkar, Anak Perjanjian Syaitan dan Pusaka.

Finas juga bakal mengundang dua juri luar untuk penjurian bersama juri tempatan tetapi enggan mendedahkan butirannya lebih lanjut buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 7:04 PM