Oleh Roslen Fadzil

Anugerah-anugerah hiburan tanah air kembali mengisi slot kalender 2014 yang kian menipis. Selepas Anugerah Lawak Warna 2014, Golden Awards 2014 dan Anugerah Planet Muzik (APM) 2014, akan menyusul pula Anugerah Skrin (ASK) 2014, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-26 dan Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-21. Kemudian nanti barulah menyusul pula Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Bintang Popular BH.

Semua anugerah itu asasnya mempunyai matlamat masing-masing bagi menjana perkembangan muzik dan filem tanah air. Setiap pihak yang terbabit termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Media Prima Berhad, Astro mahupun Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), ada visi gergasi bagi membangunkan industri hiburan Malaysia ke tahap lebih cemerlang.

Setiap tahun semua karya seni itu termasuk filem, drama, lagu-lagu dan bakat anak-anak seni akan dinilai panel juri. Ada anugerah membabitkan juri profesional dan ada pula yang berdasarkan pilihan masyarakat. Anak-anak seni hanya perlu jalankan tugas mereka sambil mencari rezeki dan usah terlalu khuatir dengan pengiktirafan kerana penilian itu akan dibuat oleh orang lain yang mendengar dan memandang.

Cuma apa yang saya harapkan apabila sudah ada majlis anugerah dianjurkan maka pihak yang dicalonkan terutama calon-calon Top 5 haruslah meluangkan masa untuk datang memeriahkan suasana dan bercampur gaul dengan peminat dan rakan-rakan dalam industri. Kata orang siapa lagi nak sokong kalau bukan kita sendiri.

Dalam hal ini saya puji majlis Golden Awards 2014 (ASK versi Cina tempatan anjuran ntv7) yang mendapat sokongan padu daripada artis dan peminat. Ia berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini dan malam itu dewan yang sangat besar itu padat dengan tetamu.

Saya perhatikan hampir kesemua calon finalis datang dengan wajah yang berseri-seri dan bersemangat. Mereka kelihatan bertepuk dan bersorak bersungguh-sungguh apabila ada rakan artis diumumkan menang. Namun apa yang sering terjadi dalam anugerah lain, kerusi-kerusi banyak yang nampak kosong dan lebih mengecewakan, calon yang menang pun hilang entah ke mana!

Bagi saya, tiada guna hamparan karpet merah dibentangkan panjang-panjang di luar dewan andai kata artis dan finalis sendiri semacam tidak menghargai usaha yang dibuat oleh pihak penganjur. Malah saya difahamkan ada segelintir artis kita cuba mengorek rahsia terlebih dulu daripada sumber-sumber pihak penganjur untuk mengetahui adakah mereka akan menang atau tidak! Kalau menang baru rasa nak datang dan cepat-cepat selongkar dan cari tajaan baju yang 'glam'.

Sikap sebeginilah yang tidak bagus dan menampakkan mentaliti segelintir artis-artis hanya mahu datang majlis anugerah kalau peluang mereka cerah untuk naik ke pentas. Kalau di Hollywood, tercalon dalam Top 5 bagi Oscar pun sudah cukup besar maknanya malah menjadi satu kejayaan hebat untuk dipandang karyawan serta pencinta seni khususnya filem. Lebih daripada itu, tercalon ke final pun nama mereka sudah terpampang pada poster filem masing-masing sebagai satu tarikan komersial.

Saya merasakan sesebuah anugerah hiburan itu akan lebih meriah dan bermakna jika semua pihak memberikan sokongan, membuang sikap hasad dengki dan menganggap kemenangan trofi itu satu bonus semata-mata. Apa yang lebih penting. kita terus bekerja dengan sebaik mungkin dalam bidang masing-masing. Cubalah kira berapa kali Seniwati Mariani Ismail memenangi anugerah namun semangat lakonannya tidak pernah pudar hingga ke saat ini. Malah beliau sering dilihat hadir dalam anugerah berkaitan filem dan drama sekiranya mendapat undangan. Inilah semangat yang boleh kita contohi

[email protected] / instagram: slenfadzil

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:00 AM