Rozita Che Wan
Rozita Che Wan
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Rozita Che Wan, 48, menolak tawaran melakonkan watak ibu kepada pelakon Remy Ishak, 39, untuk drama bersiri 40 episod.

Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, keputusan itu dibuat bukan sebab 'demanding' tapi lebih kepada realistik.

"Sebelum ini saya okay saja melakonkan watak ibu, tapi tidaklah sampai tahap pelakon yang jadi anak itu dewasa sangat. Saya pun selalu dapat watak ibu dan ia bukan isu besar. Cuma, agak-agaklah juga nak gandingkan saya dengan pelakon yang menjadi anak itu.

"Remy terlalu matang untuk menjadi anak saya dalam drama berkenaan. Kalau nak digandingkan pelakon watak ibu dan anak, biarlah logik akal," katanya.

Menurut Che Ta, sebelum ini dia sudah beberapa kali berlakon dengan Remy, malah kebanyakannya watak sebagai kekasih.

"Antaranya termasuk telefilem berjudul Masihkah Ada Sinar yang turut berentap di Anugerah Skrin 2011. Sebelum itu saya dan Remy pernah beberapa kali berlakon sama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta yang bakal menyambut ulang tahun perkahwinan kelapan bersama suami, Zain Saidin pada 11 Disember ini juga mengakui tidak sabar untuk berpindah ke kediaman baharu mereka.

"Soal pindah rumah baharu ini memang tertunda sebab situasi pandemik Covid-19 semasa. Masa awal dulu pun saya pernah terkena dan rugi jutaan Ringgit sebab projek pengubahsuaian rumah gagal disiapkan kontraktor dilantik.

"Tapi sekarang perlahan demi perlahan, saya cuba curi masa mengawasi perkembangan proses ubah suai dan siapkan rumah itu dengan kontraktror lain. Adik ipar saya pun yang tahu selok-belok hartanah dan perumahan banyak membantu serta beri nasihat," katanya yang ditemui pada majlis anjuran syarikat pelaburan, pengurusan dan pembangunan hartanah, HOMEVEST disenaraikan dalam Malaysia Book of Records.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 12:06 PM