Rozita Che Wan.
Rozita Che Wan.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Wanita perlu menjadi 'multitasking'," kata pelakon terkenal Rozita Che Wan, 49, ketika ditanya makna wanita pada dirinya sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 yang disambut hari ini.

Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, wanita juga tidak boleh lemah selain perlu kerja kuat.

"Memang wanita atau isteri perlu berada di belakang suami, tapi hari ini kita kena tukar persepsi itu yang mana perlu berdiri sama tinggi dengan mereka. Apa lelaki buat wanita juga boleh, tapi tidak semua lelaki boleh perkara yang wanita buat.

"Dulu saya ada pengalaman suami bekerja dan saya tidak. Tapi apabila kita pun bekerjaya suami akan hormat. Sebab itu wanita atau isteri jangan terlalu mengharap suami. Kalau suami diambil orang biarkan, jangan nak menangis. Lelaki ini ada dua saja, sama ada diambil orang atau meninggal dunia. Dalam masa sama, wanita tidak boleh lemah, kena kuat dan rajin," katanya pada majlis Sambutan International Woman's Day With Rozita Che Wan by Jols Luxe Fabrics, di sini, hari ini.

Che Ta turut berkongsi pengalaman melihat ibunya yang bekerja keras membesarkan mereka tujuh beradik selepas kematian bapa.

"Ayah saya meninggal dunia ketika mak berusia 35 tahun. Dia tidak pernah mengharap orang, tapi dia bekerja sana-sini besarkan kami tujuh beradik. Adik bongsu saya kecil lagi iaitu mak baru habis pantang.

"Tepuk dada tanya selera. Dari situ saya tengok macam mana usaha dan kerja keras mak," katanya.

Pada majlis itu, Che Ta turut diumumkan sebagai sebagai duta sempena kempen Hari Wanita Sedunia Jols for Rozita Che Wan bermula hari ini.

Sebanyak 10 peratus hasil jualan akan disalurkan kepada ibu tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 5:50 PM