CHE Ta. FOTO Blackpepper Production
CHE Ta. FOTO Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir

Sejak berkahwin dan dikurniakan anak, pelakon jelita Rozita Che Wan mengakui bidang lakonan bukan lagi keutamaannya.

Apatah lagi selepas aktif dalam perniagaan, Rozita, 45, atau lebih mesra disapa Che Ta lebih banyak fokus ke arah itu.

Namun begitu, Che Ta menjelaskan dia tidak akan melupakan bidang seni yang suatu ketika dulu melonjakkan namanya sehingga dikenali.

Menurut Che Ta, suaminya yang juga pelakon, Zain Saidin tidak pernah menghalangnya berlakon sebaliknya memberi kelonggaran.

“Zain selalu tanya juga perkara ini. Dia okey saja jika saya mahu kembali aktif berlakon. Namun, satu perangai dia apabila saya dapat tawaran dia banyak tanya pula.

“Ibaratnya macam tidak bagi saya berlakon. Mungkin itu tanda dia ambil berat.

“Kalau perasan, saya memang jarang berlakon. Kali terakhir saya muncul dalam drama setahun lalu. Drama Lelaki Kiriman Tuhan misalnya, saya berlakon sebab produksi itu milik kawan saya.

“Lagi satu, saya terima tawaran mereka sebab komitmen tidak ambil masa lama. Kalau makan masa berbulan-bulan memang saya tolak sebab nak kena uruskan anak, keluarga dan perniagaan. Jadi, pengurusan masa sangat penting dan ia perlu diambil kira,” katanya.

Che Ta berkata, dia juga tidak keberatan jika ditawarkan watak sampingan.

“Saya tak kesah watak apa pun. Tak semestinya watak utama saja baru saya terima.

“Syaratnya mudah saja, watak itu tidak memerlukan komitmen tinggi. Insya-Allah saya terima,” katanya.

Berkongsi mengenai watak Kak Bed dalam drama arahan Rashid Sibir itu, Che Ta menegaskan dia tidak suka kerana ada aura negatif.

“Kak Bed watak antagonis di mana wanita menjalin hubungan dengan suami orang. Walaupun ia hanya lakonan, penonton kita tidak suka karakter sebegini malah ia sangat sensitif dalam kalangan wanita.

“Jadi, bagi saya ia mencabar. Dulu saya pernah bawa watak perampas dan teruk kena kecam. Disebabkan itu, saya tidak suka bawa watak yang ada aura negatif,” katanya.

Pada masa sama, Che Ta mendedahkan dia tidak pernah menghalang suaminya berlakon.

“Sekarang, Zain pun malas nak berlakon.

Susah untuk dia dapat watak sesuai dan kalau ada pun klise.

“Saya okey dan terbuka kalau dia nak berlakon. Tidak pernah timbul isu mengongkong atau letak sebarang syarat.

“Saya bukan jenis suka ambil tahu semua benda yang suami buat. Dari awal lagi saya tidak letakkan 100 peratus kepercayaan. Katakanlah kalau tiba-tiba dia buat hal, tidaklah saya berasa terkejut.

“Disebabkan itu saya tidak pernah rasa risau jika dia menjalani penggambaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 5:30 AM