Che Ta dihujani pelbagai tawaran drama, lakon karakter perempuan tua, detektif
Che Ta dihujani pelbagai tawaran drama, lakon karakter perempuan tua, detektif
Sudirman Mohd Tahir

KETIKA sektor kreatif diberi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh kerajaan sejak 9 September lalu, pelakon jelita, Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta dihujani pelbagai tawaran drama.

Selain mendapat tawaran drama Tahyul terbitan Zeel Production, isteri kepada Zain Saidin itu turut melunaskan penggambaran drama Kerana Dia Suka juga di Perlis terbitan produksi sama.

Malah, Che Ta membawakan watak perempuan tua bernama Hajah Mariah. Turut sama berlakon ialah Fendi London, Rita Nadira dan Fikry Ibrahim.

"Macam saya selalu tekankan sebelum ini, akan ada salah anggap dan tafsir terhadap insan bernama Rozita Che Wan. Selalu akan fikir kalau saya berlakon kena cantik sepanjang masa.

"Malah, sampai ada cakap, saya menjadi diri sendiri. Realitinya memang saya Rozita Che Wan. Tapi, saya akan berlakon ikut karakter diberikan. Malah 'look', solekan dan warna baju pun produksi tentukan.

"Dalam drama Kerana Dia Suka, saya berbeza daripada watak lain termasuk Detektif Masni," katanya.

Dalam pada menjalani dua penggambaran itu, Che Ta juga terbabit dalam satu lagi projek super tele iaitu Mat Kola yang dijalankan di Alor Setar, Kedah.

"Bukan saja dua drama itu, tapi saya juga menjayakan super tele Mat Kola. Menerusi cerita ini saya melakonkan watak Kak Som iaitu janda kaya. Pelakon lain adalah Pak Kodi, Usop Mentor dan Puteri Hanan," katanya.

Memandangkan penggambaran kedua-dua drama itu dijalankan di Kangar dan Arau, Perlis, ia menuntut Che Ta untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke sana.

CHE Ta sibuk melunaskan semua penggambaran drama.
CHE Ta sibuk melunaskan semua penggambaran drama.

"Tipu kalau kata tak penat. Kuala Lumpur ke Perlis ambil masa panjang dalam perjalanan. Tapi, ini adalah tanggungjawab sebagai pelakon. Lagi pula ketika ditawarkan drama ini memang sudah dimaklumkan lokasi penggambaran di sana. Jadi, saya okay saja.

"Kebetulan saya tidak ada komitmen kerja lain. Jadi, saya tidak perlu berkejar ke sana sini. Cuma, selepas semua sektor dibenarkan beroperasi, ada beberapa acara membabitkan saya yang tertangguh sebelum ini perlu diselesaikan juga," katanya.

Selain sibuk menjalani penggambaran, Che Ta juga rancak mempromosikan Tudung Bawal Che Ta jenama Maza Scarves.

"Alhamdulillah, sambutan diberikan sangat baik. Terima kasih kepada semua yang sudah membeli dan memberikan sokongan," katanya.

Minat Fauziah Latiff

Selain pernah mengkagumi bakat penyanyi Ziana Zain, Che Ta mengakui sangat meminati Fauziah Latiff.

Lalu tidak hairan, tawaran membintangi drama Tahyul yang baharu saja tamat bersiaran di TV3 pantas diterimanya tanpa berfikir panjang.

Che Ta berkata, selain menerima tawaran itu disebabkan Fauziah Latiff, dia turut mempertimbangkannya kerana diberi peranan sebagai Detektif Masni.

"Ikutkan saya jarang memegang watak seperti polis atau perisik. Begitu juga detektif. Sebelum ini dalam drama Gerak Khas pun saya pernah muncul jadi Deputi Superintenden Polis untuk beberapa episod.

"Sebelum itu, karakter Kiah Pekasam juga diperluaskan menjadi Kiah Spy. Saya juga pernah jadi 'spy' dalam drama Family Spy yang turut dibintangi Alif Satar.

CHE Ta seronok dapat berlakon dengan Fauziah Latiff.
CHE Ta seronok dapat berlakon dengan Fauziah Latiff.

"Apabila ditawarkan watak detektif, saya nampak kelainan untuk mempertimbangkan drama Tahyul. Masa baca skrip, saya tanya siapa pegang watak Puan Qaseh. Apabila diberitahu ia dilakonkan Jee, tak ada sebab saya nak menolaknya," katanya.

Masa zaman kemuncak kerjaya nyanyian Fauziah Latiff, Che Ta tidak ketinggalan membeli kaset ketika zaman itu.

"Boleh kata semua koleksi lagunya yang meruntun jiwa saya ada. Malah, saya pernah beratur semata-mata nak bergambar dengannya di sebuah karnival persembahan di Alor Setar, Kedah.

"Malah, saya pernah disatukan dengan Jee dan Ziana dalam sebuah fotografi kulit muka depan majalah fesyen dan kecantikan. Tak sangka dapat pula berlakon dengan Jee buat kali pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:00 AM