DJOKOVIC bakal beraksi di temasya Olimpik Paris. -FOTO Reuters
DJOKOVIC bakal beraksi di temasya Olimpik Paris. -FOTO Reuters
Reuters

Paris: Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic mengumumkan perpisahan dengan jurulatih kecergasannya, Marco Panichi.

Djokovic mengucapkan terima kasih kepada Panichi atas perkhidmatannya selama beberapa tahun ini semalam, sekali gus menandakan berakhirnya kerjasama mereka dalam perubahan terbaru kem pemenang 24 kali Grand Slam itu.

Pemain Serbia itu berkata minggu lalu, bahawa dia sedang mempertimbangkan untuk beraksi tanpa jurulatih selepas menamatkan kerjasama lima tahun dengan jurulatih Croatia, Goran Ivanisevic bulan lalu, berikutan kekalahan awalnya di Indian Wells.

Panichi dari Itali menyertai pasukan Djokovic sebagai jurulatih kecergasan pada 2017.

"Beberapa tahun yang menakjubkan ketika kami menjalinkan kerjasama. Kami mencapai puncak, memenangi gelaran, memecahkan rekod. Tetapi yang paling penting, saya menikmati hari-hari latihan kami yang paling 'biasa' di dalam dan di luar gim," tulis Djokovic di Instagram.

"(Terima kasih) atas semua tenaga, usaha dan masa yang anda laburkan untuk menjadikan saya pemain dan orang terbaik yang saya boleh jadi. Sayang semua."

Djokovic tidak menyertai Terbuka Madrid tahun ini untuk memberi tumpuan kepada Grand Slam dan Sukan Olimpik Paris akan datang, tetapi merancang untuk bersaing di Rom.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 11:06 AM