TAK sangka bawa pulang RM100,000, mahu rebut peluang dan bakat yang ada dalam kerjaya.
TAK sangka bawa pulang RM100,000, mahu rebut peluang dan bakat yang ada dalam kerjaya.
Syafil Syazwan Jefri


PERJALANAN hidup setiap insan semuanya sudah diatur oleh Allah SWT Malah, pintu rezeki setiap makhluk-Nya juga sudah disusun dengan sebaik-baiknya.

Bagi penyanyi, Shahir Zawawi, sejauh mana pun dia cuba melangkah pergi daripada kerjaya seni, namun jika itu sudah ditetapkan sebagai pintu rezekinya, dia akan tetap kembali bergelar anak seni.

"Allah mengatur setiap jalan. Sebelum ini, saya babitkan diri dalam bidang perniagaan. Saya fikir, itu peluang untuk saya mencari rezeki dalam ruang lain selain seni," katanya.

Namun begitu, dalam percubaannya untuk meneroka bidang perniagaan barangan kelengkapan perubatan, ternyata Shahir diuji dengan dugaan besar.

"Saya berdepan dengan dugaan antaranya, ditipu oleh pembekal. Dalam situasi pandemik Covid-19 ini, ramai orang yang mengambil kesempatan. Bahkan, pengalaman pahit yang saya alami sendiri itu berlaku pada Oktober 2020.

"Pembekal yang sepatutnya membekalkan barangan keperluan perubatan kepada syarikat saya menipu dengan menghantar kotak kosong saja dan disebabkan penipuan itu, saya terpaksa menanggung kerugian mencecah RM12 juta," katanya.

Shahir yang bekerjasama (joint venture) dengan satu syarikat kini sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal terbabit.

SHAHIR diumumkan juara Hijrahkan Laguku musim pertama.
SHAHIR diumumkan juara Hijrahkan Laguku musim pertama.

"Tindakan undang-undang sudah diambil dan saya bersyukur kerana pelanggan-pelanggan kami juga sangat memahami akan situasi yang berlaku itu," katanya.

Terbaharu, Shahir berjaya dinobatkan sebagai juara program realiti, Hijrahkan Laguku yang bersiaran Sabtu lalu.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada TV Alhijrah yang membuka peluang kepada saya untuk menyertai program ini. Saya tertarik kerana konsepnya yang berbeza berbanding program realiti lain yang sedia ada.

"Walaupun saya pernah menyertai program realiti sebelum ini, bezanya, dulu mungkin kita berikan yang terbaik untuk insan yang mendengar, supaya mereka kagum dengan persembahan kita.

"Kali ini, tujuan utama peserta bukanlah untuk membuatkan manusia kagum sesama manusia, tetapi supaya penonton kagum dengan kalimah Allah," katanya.

Tanpa mengetahui hadiah utama yang ditawarkan, Shahir berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan menganggap, itu bukanlah keutamaan dikejarnya.

"Pada peringkat awal, saya dan kesemua peserta tak tahu ada hadiah sebagai ganjaran. Jadi, bukan hadiah yang kami kejar, tetapi saya bersyukur kerana yang penting, program ini mendapat tempat di hati penonton.

Ditanya juga mengenai perancangannya dalam bidang seni, Shahir berkata dia akan menggunakan sebaik mungkin ruang yang sudah dibuka kepadanya.

SELAIN Shahir, tiga lagi peserta akhir adalah Iwan Syahman, Datuk Nash dan Mark Adam.
SELAIN Shahir, tiga lagi peserta akhir adalah Iwan Syahman, Datuk Nash dan Mark Adam.

"Ruang yang dibuka kepada saya ini akan gunakan sebaik mungkin. Saya dan sahabat-sahabat saya dalam program ini akan mewarnai serta memeriahkan industri seni sambil mengingatkan kita semua kepada Tuhan.

"Menerusi platform ini, harapnya ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kewujudan lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan yang sememangnya banyak dan melodinya meruntun jiwa," katanya.

Ditanya sama ada tugas dan tanggungjawabnya sebagai juara program ini adalah berat, Shahir berkata, dirinya adalah manusia biasa yang tidak sempurna.

"Kadangkala, kalau kita tak muncul pun, orang akan bercakap macam-macam. Pengalaman itu yang saya dah pernah lalui, jadi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

"Berat atau tidak tanggungjawab itu, bergantung kepada diri kita. Kalau kita hanya 'berlakon' untuk nampakkan diri kita baik, tentulah akan rasa berat.

"Dalam program ini, saya bawa watak diri sendiri. Saya bukan 'maksum'. Kita buat kebaikan kerana Allah dan setidak-tidaknya, benda begini akan menginspirasi orang lain. Saya masuk program ini bukan nak beritahu orang ramai yang saya nak jadi baik," katanya.

Kini, Shahir juga dalam proses meneliti beberapa tawaran untuknya sebelum mengeluarkan single baharu yang sudah dirancang sejak 2020 lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:00 AM