Rahim Maarof. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Rahim Maarof. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya dah berhenti merokok sejak tiga tahun lalu. Dulu saya perokok tegar. Ketika main permainan Playstation pun, saya boleh habiskan tiga kotak rokok," kata penyanyi Rahim Maarof, 66, mengenai perubahannya sekarang.

Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Kristal, Jangan Kau Rayu dan Istana Menanti ini mengakui, mulanya sangat susah untuk dia berhenti merokok.

"Sekarang saya boleh duduk sebelah orang yang menghisap rokok atau vape tanpa masalah.

"Saya berhenti merokok akibat batuk teruk selepas satu konsert dengan Man Bai dan beberapa artis lain pada 2018. Ketika itu saya meminta rokok daripada Allahyarham Kelly. Itulah yang terakhir saya menghisap rokok," katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Rockestra Nostalgia di Mayor's Courtyard, Biro Pelancongan DBKL, di sini, semalam.

Menurutnya, pada usia 66 tahun, dia menjalani kehidupan dengan gembira dan mengamalkan rutin penjagaan kesihatan.

"Dulu saya suka berbasikal tapi sekarang tidak lagi. Saya hanya buat senaman biasa. Alhamdulillah saya sihat. Sentiasa amalkan jaga kesihatan. 'Stress' (tekanan) itu biasalah semua orang akan tempuh tanpa sengaja, tapi kita kena selesaikan dengan tenang," katanya.

Rahim yang masih aktif menyanyi akan beraksi dalam Konsert Rockestra Nostalgia bersama Ito Blues Gang, Man Bai, Ruhil Amani, Rahmat Mega dan Asheed Def Gab C di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, di sini, pada 30 Oktober ini jam 9 malam.

Konsert percuma yang bakal diiringi 45 Pemuzik Orkestra Kuala Lumpur DBKL ini hanya dibuka kepada 250 penonton terawal.

Mereka yang berminat perlu melayari pautan rockestra.wasap.my atau menghubungi talian 018-245 4612.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 3:40 PM