GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM1.83 juta melalui operasi penguatkuasaan bersepadu larangan merokok bagi tempoh 1 Januari hingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, jumlah itu hasil daripada 7,645 notis kompaun yang dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Katanya, kesalahan merokok yang paling banyak dikesan ialah di kompleks membeli-belah dan kedai makan.

"Oleh itu, JKN Pahang akan meneruskan operasi penguatkuasaan PPKHT 2004 bagi membendung tabiat merokok dan melindungi orang ramai daripada bahaya rokok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi dua hari yang berakhir semalam, beliau berkata, ia dijalankan serentak di semua daerah di Pahang membabitkan 78 pegawai inspektorat JKN Pahang di 372 lokasi.

Sepanjang dua hari itu, katanya, pihaknya mengeluarkan 229 notis kompaun berjumlah RM53,850.

"Kita juga mengesan 27 individu belum dewasa atau belum cukup umur merokok, menghisap vape dan memiliki hasil tembakau ketika operasi dilaksanakan.

"Daripada jumlah itu, seramai 18 individu dikesan di kompleks membeli belah, kedai makan (enam), taman awam (dua) dan seorang di hentian pengangkutan awam.

"Mereka dikenakan kompaun minimum RM50 setiap seorang dan diberi nasihat agar berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Selain itu, notis kompaun juga dikeluarkan kepada seorang penjual rokok kerana gagal mempamerkan tanda larangan penjualan bawah 18 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 12:33 PM