GERSANG bersedia menjayakan Konsert Rock Klasik di Singapura.
GERSANG bersedia menjayakan Konsert Rock Klasik di Singapura.
Ridzuan Abdul Rahman


Menjadi penutup konsert tahun ini, namun pada masa sama juga ia menjadi pembuka konsert untuk tahun depan.

Begitu keistimewaan Konsert Rock Klasik anjuran RAB International yang menggabungkan empat nama besar iaitu Rusty Blade, Majesty, Gersang dan Ella yang berlangsung di Singapore Expo pada 31 Disember depan.

Pengarah Operasinya, Muhd Azli Kamaludin berkata, pemilihan nama ini selaras dengan nama Rock Klasik di mana mereka agak lama mendiamkan diri.

"Setiap kumpulan ada pengikut yang kuat. Kami jangka konsert malam itu menjadi konsert yang gah. Ia sebuah konsert yang dinanti-nantikan khususnya untuk orang Singapura kerana 'event' Melayu tak banyak di sana.

"Mereka bakal membangkitkan nostalgia peminat yang membesar dengan lagu rock pada era itu menerusi persembahan tanpa henti selama empat jam.

"Keempat-empat penghibur yang ditampilkan mempunyai rangkaian lagu 'evergreen' yang menjadi siulan hingga hari ini," katanya pada sidang media baru-baru ini.

Muhd Azli berkata, Singapore Expo menjadi pilihan kerana premis terbabit dibuka sehingga awal pagi bagi meraikan 'countdown' tahun baharu 2023.

"Lokasi ini boleh memuatkan 4,000 penonton. Persembahan setiap kumpulan adalah sejam, jadi terpulang kepada mereka untuk mengisi masa diberikan.

"Jualan tiket secara online mula dibuka sejak 28 Oktober lalu dan sambutannya sangat menggalakkan.

"Kami masih baharu, tapi sebelum itu kami banyak terbabit buat festival. Ini kali pertama kami anjurkan konsert besar," katanya.

Sementara itu, Man Bai yang mewakili Gersang mengakui bersyukur dan teruja dapat kembali ke Kota Singa selepas lebih 30 tahun tidak ke sana.

"Kali terakhir Gersang membuat persembahan di Singapura adalah pada 1989 di Pulau Sentosa.

"Ini bermakna sudah 34 tahun kami tidak masuk sana untuk menghiburkan peminat. Insya-Allah, persiapan sudah mula dibuat.

"Semestinya kami akan mengubat rindu peminat dengan lagu popular Gersang seperti Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir," katanya.

Untuk persembahan mereka, Gersang membariskan anggota, Man Bai (penyanyi), Jojet (dram), Man Greng (bass) dan Ajib (gitar).

Manakala tempat Kid (gitar) digantikan Shahrul Ekamatra dan Eddie Slam menggantikan Datuk Acis (keyboard).

Vokalis Majestic, Hanafie Warren yang sebelum ini bersama The Unwanted pula berkata, mereka akan menghiburkan peminat dengan lagu popular seperti Penyesalan, Terperangkap Dalam Sinaran dan Masih Ada Rindu.

Sementara itu, Azizan Abu Bakar yang mewakili Rusty Blade berkata, mereka kekal menampilkan Yantzen selaku vokalis.

"Kami masih aktif selain kerap berlatih di Singapura. Memang kami sudah lama tidak menjayakan sebarang persembahan kerana ada sahaja halangan, tetapi kami tidak pernah berhenti berlatih.

"Apabila mendapat undangan, kami tidak bimbang kerana sudah sentiasa bersedia dan senarai lagu juga sudah disiapkan.

"Rusty Blade pula berusaha menampilkan anggota asal, tetapi Man Karen tidak dapat turut serta berikutan berdepan masalah kesihatan. Namun, kami akan tampilkan Noor Hendrix dan Khalid Mobin," katanya.

Mereka yang kini tampil dengan single terbaharu berjudul Wira berjanji mengembalikan nostalgia peminat dengan lagu seperti Tiada Lagi Aku, Ikrar Perwira, Penantian dan banyak lagi.

Tiket ditawarkan pada harga RM328.09 hingga RM1,171.57, malah sebahagian daripada penjualan tiket bakal disalurkan kepada Singapore Muslimin Trust Fund Association.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 6:45 AM