RUHIL kembali menyanyi selepas anak-anak meningkat dewasa.
RUHIL kembali menyanyi selepas anak-anak meningkat dewasa.
Ridzuan Abdul Rahman


KAWAN adalah satu-satunya lagu nyanyian Ruhil Amani Hussain yang kekal diingati oleh peminat yang membesar pada awal era 1990-an.

Nyanyiannya yang lantang dan bertenaga menerusi lagu ciptaan Datuk Ramli Sarip itu berjaya membawa masuk Ruhil dalam industri seni tanah air.

Kini, selepas hampir 17 tahun berehat bagi menumpukan perhatian terhadap rumah tangga, Ruhil bersedia untuk kembali memeriahkan dunia muzik.

Ruhil, 46, bersama artis legenda lain iaitu Ito (Blues Gang), Rahim Maarof, Man Bai, Asheed (Def Gab C) dan Rahmad (Mega) akan beraksi dalam Konsert Rockestra Nostalgia di Panggung Anniversari di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur pada 30 Oktober, jam 9 malam.

"Anak-anak sudah besar dan sekarang masa terbaik untuk saya kembali menyanyi kerana saya mula serius menyanyi sejak usia 13 tahun lagi. Untuk konsert terbabit, saya akan menyampaikan tiga lagu iaitu dua lagu popular antaranya lagu Kawan dan satu lagu baru yang agak rancak.

"Saya sudah buat persediaan secukupnya dari segi vokal dan stamina untuk persembahan nanti. Saya satu-satunya bunga dan pasti akan berikan yang terbaik," katanya.

Menurutnya, pada 2019 sebelum berlakunya pandemik, dia beraksi bersama Ramlah Ram, Fauziah Latiff dan ramai lagi penyanyi dalam Konsert Kenangan Lalu KLFM di Pasar Seni, Kuala Lumpur yang mendapat sambutan meriah dari peminat.

RUHIL antara selebriti meriahkan Konsert Rockestra Nostalgia, bakal muncul dengan album baharu.
RUHIL antara selebriti meriahkan Konsert Rockestra Nostalgia, bakal muncul dengan album baharu.

"Alhamdulillah, peminat sangat menyokong. Terharu saya dibuatnya. Sebenarnya ada juga peminat yang fikir saya duduk di luar negara. Itu sebabnya ramai yang tak tahu bahawa saya dah perlahan-lahan kembali aktif.

"Tumpuan saya adalah untuk cuba memberikan yang terbaik buat peminat dan mereka yang sentiasa menyokong, memberi semangat dan mendoakan saya," katanya.

Hasilkan album baru

Bukan setakat menyanyi di pentas, bahkan ibu kepada Ruhil Ariana Wilson, 17, dan Raayan Alexander Wilson, 10, juga ingin melahirkan album atau 'single' pada tahun depan.

"Saya sudah pun ada 12 lagu baharu dalam simpanan. Saya akan kembali dengan album berkonsep rock dan tak peduli dengan penyanyi generasi baharu yang tampil dengan pelbagai genre muzik sekarang.

"Saya percaya peminat saya sentiasa menyokong meskipun sudah lebih 17 tahun menyepi tanpa album baharu," katanya.

Ruhil muncul kali terakhir dengan album kompilasi berjudul Abadi sekitar dua dekad lalu sebelum bernikah dengan pemain gitar, pencipta lagu, penerbit album dan pengubah susunan muzik, Jamil Wilson Abdullah atau Jamie Wilson.

Dalam pada itu, Konsert Rockestra Nostalgia yang bakal dihoskan oleh Lando Zawawi dan Nadia Hasnan hanya dihadkan kepada 250 orang penonton sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:20 AM