Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Hasrat penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat untuk melahirkan anak menerusi pembedahan mengundang pelbagai reaksi pengikutnya di media sosial.

"Czer (caesarean)? Tak 'real'lah jadi ibu."

"Macam mana nak jadi ibu kalau kau beranak pun 'operate."

"Kalau 'operate' 'confirm' tak keluar susu, tak 'breastfeed' kesian anak dia."

"Ikut tingkap ke? Malunya".

Demikian antara komen-komen sinis pengikutnya di Instagram berhubung hasrat Ayda itu yang bakal melahirkan bayi perempuan, Oktober ini.

Ayda dalam hantaran di Instagram meminta supaya masyarakat tidak stereotaip terhadap wanita yang memilih atau terpaksa bersalin menerusi pembedahan.

"Normal atau pembedahan, tujuannya sama iaitu nak anak dan ibu selamat dan sihat. Doa yang baik-baik, hentikan aura negatif! Kita perlu sokongan, bukan cemuhan," tulisnya.

Menurutnya, walau apa juga cara seseorang wanita itu bersalin dan sama ada dia memberi bayinya susu badan atau tidak, wanita itu tetap seorang ibu.

"Keluar (bersalin) kat mana pun, beri susu badan atau tak, tak ada parut regangan (stretch marks) atau tak, perut kecil atau besar semasa mengandung, tolong ingat. Anda masih seorang ibu dan seorang ibu sejati. Tak kisahlah apa pun," tulisnya.

Dalam hantaran sama, isteri kepada Nabil Mahir itu juga memberi semangat kepada wanita-wanita yang memilih atau terpaksa bersalin menerusi pembedahan tidak malu, sedih atau tertekan dengan persepsi masyarakat.

"Kepada ibu-ibu yang pilih atau memang terpaksa menjalani pembedahan atas faktor kesihatan dan keselamatan bayi serta diri anda, tolong jangan malu, sedih atau tertekan.

"Ada yang sampai rahsiakan kena bedah sebab takut dan malu diketawakan dan diperlekehkan oleh ibu yang bersalin normal. Kenapa sampai jadi begitu?" tulisnya.

Semalam, Ayda dan Nabil mengumumkan mereka bakal menimang bayi perempuan.

Ayda sebelum ini dijangka akan bersalin pada 8 Oktober, namun kerana dia memilih untuk menjalani pembedahan, dia akan bersalin dua minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan.

Mereka juga belum memilih nama untuk bayi yang nakal lahir itu.

Pasangan Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu selepas lapan bulan mengikat tali pertunangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 3:46 PM