AYDA Jebat bersama suaminya, Nabil Mahir.
AYDA Jebat bersama suaminya, Nabil Mahir.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya hilang kata-kata. Akhirnya dapat menatap wajah anak kami," kata pengacara, Nabil Mahir yang berkongsi rasa teruja apabila isterinya yang juga penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat selamat melahirkan bayi perempuan, semalam.

Nabil berkata, sepanjang proses kehamilan, bayi sulung mereka itu selalu memberikan maklum balas yang positif.

"Saya sering bercakap ketika dia masih dalam perut ibunya dan dia selalu memberikan respon yang baik. Syukur dapat bertemu dengannya. Doakan semoga Ayda dan puteri sulung kami diberikan kesihatan yang baik," katanya.

Menurut Nabil, Ayda kini berada dalam keadaan yang baik selepas menjalani pembedahan melahirkan bayi itu semalam.

"Semuanya baik-baik saja. Lagipun proses pembedahan berjalan dengan cepat. Cuma sekarang dia tidak berasa selesa kerana terpaksa menahan kesakitan.

"Dia seorang ibu yang kuat. Saya tak rasa saya mampu mengalas tugasnya ketika melihat keadaan dia yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak.

"Disebabkan Ayda mengalami kontraksi dan bayi dalam keadaan songsang, jadi puteri kami perlu dilahirkan seminggu lebih awal dari tarikh yang dirancang," katanya.

Ayda selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.77 kilogram secara pembedahan di sebuah pusat perubatan, di sini, jam 7.07 malam semalam.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari lalu selepas mengikat pertunangan secara dalam talian pada 28 April tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 4:55 PM