Nourul (empat dari kiri) bersama Sherry, Nadya dan Abang Dee.
Nourul (empat dari kiri) bersama Sherry, Nadya dan Abang Dee.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, Nourul Depp mengajak peminat dan pengikutnya di Instagram supaya menerima vaksin. 

Ia selepas Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab menjadi antara selebriti yang bertugas sebagai sukarelawan di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM, semalam. 

Dalam hantaran di Instagram, Nourul memuat naik video ketika dalam perjalanan, semasa berada di PPV dan gambar kenangan bersama mereka yang turut berada di lokasi sama. 

"Seronok berjumpa Sherry Alhadad, Nadiya Nisaa dan tentunya, Abang Dee Jangan Ketawa.

"Ingat, kepada yang sudah menerima notifikasi untuk vaksin, jangan lupa untuk terima. Kita sama-sama bantu supaya kita dapat kembalikan kehidupan kita seperti biasa," katanya. 

Berkongsi kenangan bersama rakan artis yang turut serta sebagai sukarelawan, Nourul juga menegaskan mengenai sikap dan adab untuk bertegur sapa sesama manusia. 

"Nak beritahu, kami semua dari generasi berbeza dalam dunia hiburan. Abang Dee memang kita tahu, legenda Jangan Ketawa. 

"Dua figura hebat, Sherry dan Nadiya yang tak pernah lekang senyuman dan sangat baik dan beradab," tulisnya. 

Dalam hantaran sama, Nourul juga berkongsi mengenai sikap dan adab yang dididik kepadanya saat mula menjengah ke dalam industri sebagai anak seni pada tahun 1990-an. 

"Dari awal kenal mereka, sopan dan adab itu ke depan dahulu. Kenalkan diri dan salam. 

"Saya yang hadir tahun 1990-an diajar jangan tak tegur orang bila dah jadi artis. Kena tegur, kenalkan diri sebab walaupun dah nama jadi artis, kenalkan diri dan jadi rendah diri," tulisnya. 

Selain Nourul, Sherry, Nadiya dan Dee, beberapa artis lain turut menjadi sukarelawan di lokasi sama antaranya Fizo Omar, Nazim Othman, Amelia Henderson dan Puteri Aishah. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:46 PM