Kehadiran ramai artis baru sekarang ini tidak SS nafikan memberi perkembangan yang sihat.

Meskipun perlu bersaing sesama mereka, masing-masing tidak gentar dan yakin dengan setiap rezeki yang datang.

Namun dalam usaha untuk menempatkan diri, banyak perkara perlu dilakukan untuk memastikan apa yang diimpikan terlaksana.

Tidak ha­nya perlu pandai menyanyi atau berlakon, penampilan diri dan perlakuan juga perlu dijaga supaya orang sekeliling selesa dengan kita.

Bercakap soal perlakuan, SS perhatikan sekarang ini ramai artis baru yang lupa diri. Mungkin kehadiran mereka mudah diterima dan laman sosial yang ada membuatkan mereka cepat dikenali.

Sering terjadi apabila di temu bual, mereka bersikap kurang sopan dan tergedik-gedik tidak reti duduk diam.

Apa yang berlaku pada teman SS ketika menemu bual seorang artis baru ini, dia asyik ketawa saja sehinggakan teman SS rasa meluat.

Entah apa yang lucu dengan soalan yang diajukan, teman SS keliru kerana setiap kali menjawab soalan dia akan ketawa.

Kata teman SS, soalan yang diajukan bukanlah soalan bodoh, tetapi soalan biasa berkaitan kerjaya dan kehidupannya.

Tak tahulah sama ada dia gementar pula.

Tidak kisahlah gementar atau tidak, tidak kira anda artis atau orang biasa, pada SS adab ketika bercakap dengan orang, itu sudah menjadi amalan setiap manusia.

Belajarlah beradab ketika orang sedang bercakap, jangan nanti gara-gara sikap biadap itu merosakkan karier anda pada masa akan datang.

SS: Selalu ketawa bila orang buat lawak saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 10:10 AM