DAIYAN Trisha.
DAIYAN Trisha.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: - Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha meluahkan rasa kesal apabila namanya terpalit kontroversi dan dituduh oleh seorang pengguna Twitter sebagai sukarelawan yang tidak bertanggungjawab.

Dalam ciapan dibuat pada 15 Julai lalu, individu itu mengiyakan satu pertanyaan tertera nama Daiyan apabila kecoh mengenai artis yang kononnya hanya hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selama 15 minit dan bergambar.

"Terima kasih kepada pihak Qualitas kerana membantu saya mengesan individu yang bersalah ini. Dia juga adalah salah seorang sukarelawan di PPV sama. 

"Hairan, sepatutnya dia tahu yang saya bekerja seharian. Dia juga ada bergambar dengan saya, tapi masih menyebar fitnah terhadap saya dengan menjawab 'Yes' melalui Twitter apabila ditanya adakah Daiyan antara artis yang datang hanya untuk sesi bergambar, bersosial dan balik selepas 15 minit bertugas," tulisnya di Instagram.

Dalam hantaran sama, Daiyan juga menegaskan bahawa dakwaan dan tuduhan tidak berasas dibuat itu mencalarkan nama dan kredibiliti dirinya.

"Baru-baru ini, saya dituduh oleh seorang individu di Twitter. Ciapan ini diulang ciap (Retweet) sebanyak lebih 4,000 kali sebelum ia dipadam. Walaubagaimanapun, ciapan ini melahirkan banyak tuduhan dan fitnah terhadap saya dan kerja sukarelawan saya di PPV.

"Sukarelawan itu adalah orang yang melakukan sesuatu secara sukarela, tidak perlu, tidak dipaksa. Direlakan terutamanya, dalam memberikan sesuatu khidmat.

"Tapi, apabila saya dituduh dan difitnah seperti ini, tak tahulah nak rasa apa. Bukan saya saja, malah sebilangan rakan artis yang lain juga," tulisnya.

Ujar Daiyan, cerita tidak sahih sebegitu tidak sepatutnya diterima bulat-bulat.

"Naratif ini tak patut terus diterima bulat-bulat seperti ini, terutamanya apabila ia bohong dan fitnah semata-mata. Saya sudah bekerja jadi sukarela selama beberapa hari, semuanya dalam lima hingga 10 jam sehari.

"Saya tak pernah merungut mahupun melakukan apa yang diperkatakan seperti membawa rakan-rakan, jurukamera dan sebagainya.

"Hari pertama, saya datang seorang diri. Hari kedua dan ketiga, saya bawa pembantu peribadi atas tujuan keselamatan dan dia juga turut sama menjadi sukarelawan," tulisnya lagi.

Daiyan juga mengajak masyarakat supaya memberi tumpuan kepada tugas doktor dan petugas-petugas barisan hadapan lain yang banyak berkorban berbanding dirinya.

"Tolonglah fokus kepada doktor, petugas barisan hadapan, pekerja-pekerja dan sukarelawan lain yang bekerja penat lelah hari-hari. Tolong hargai mereka. Beri mereka perhatian.

"Bukan saya. Apalah sangat sumbangan kecil saya ini. Cuma, maaf. Walaupun isu ini nampak remeh, saya kena bersuara kerana ramai yang bertanya dan memperlekehkan niat dan integriti kerja sukarelawan saya," tulisnya lagi.

Individu tidak bertanggungjawab itu bagaimanapun, sudah membuat permohonan maaf dan memadam ciapannya. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 6:48 PM